Buletin

MAHU MILIKI KERETA LUMBA? HONDA KINI SEDIA MENJUALNYA…

Honda memperkenalkan satu inisiatif baharu yang membuka peluang kepada peminat dan pengumpul kereta lumba bersejarah untuk memiliki jentera perlumbaan tulen, lengkap dengan sokongan teknikal terus daripada pengeluar.

Program yang dikenali sebagai Heritage Racing Program itu dikendalikan oleh Honda Racing Corporation (HRC) dan memberi tumpuan kepada pemulihan serta penyelenggaraan kereta lumba klasik yang pernah mencipta nama di litar antarabangsa.

Model pertama yang ditawarkan menerusi program tersebut ialah Acura ARX-01a bernombor 26, sebuah prototaip perlumbaan endurance yang mencatat kemenangan dalam kategori LMP2 pada perlumbaan Sebring 12 Jam 2007.

Ketika itu, jentera berkenaan dipandu oleh gandingan Dario Franchitti, Bryan Herta dan Tony Kanaan.

Menurut HRC, setiap kereta yang dipilih akan dibongkar sepenuhnya sebelum dipulihkan berdasarkan dokumen homologasi asal, rekod kejuruteraan serta rujukan foto ketika era perlumbaannya.

Komponen yang masih boleh digunakan akan diperbaharui manakala bahagian tertentu akan diganti dengan komponen baharu dengan mengekalkan spesifikasi asal.

Kerja-kerja membina semula enjin akan dilakukan di pusat HRC di Santa Clarita, Amerika Syarikat. Pada masa sama, sistem elektronik dan beberapa elemen keselamatan turut akan dikemas kini bagi memenuhi keperluan penggunaan moden tanpa menjejaskan identiti asal kereta tersebut.

Selepas proses pemulihan selesai, setiap kereta akan menjalani ujian litar bagi memastikan prestasinya berada pada tahap optimum.

HRC turut menawarkan khidmat sokongan teknikal di litar, membolehkan pemilik mendapatkan bantuan terus daripada jurutera yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai model berkenaan.

Ini bermakna pembeli bukan sahaja memperoleh sebuah kereta lumba bersejarah, malah akses kepada kepakaran rasmi yang sebelum ini hanya tersedia kepada pasukan perlumbaan profesional.

Walaupun harga Acura ARX-01a masih belum diumumkan, HRC turut mendedahkan bahawa mereka telah memulihkan empat unit ARX-05 DPi dan sedang menawarkan sebuah casis NSX GT3 yang pernah mencatat 38 kemenangan kelas dalam siri perlumbaan IMSA serta SRO.

Pada masa hadapan, program ini dijangka diperluaskan dengan penawaran model-model perlumbaan bersejarah lain termasuk jentera IndyCar yang menggunakan enjin Honda.

Melalui langkah ini, Honda dilihat mahu menawarkan sesuatu yang lebih daripada sekadar jualan kereta lumba klasik.

Sebaliknya, syarikat itu mahu memastikan warisan perlumbaannya terus hidup dengan sokongan rasmi kilang, sekali gus memberi keyakinan kepada pemilik untuk terus menggunakan jentera tersebut di litar.

Google ads
Back to top button