
SAIC CATAT JUALAN LEBIH SEJUTA UNIT, REKOD BAHARU PADA 2026
SAIC Motor Passenger Vehicle Company (SMPV), bahagian kenderaan penumpang di bawah kumpulan SAIC Motor, mencatat jualan melebihi sejuta unit bagi 2026 setakat awal November, sekali gus mencipta rekod tahunan baharu.
Pencapaian itu dicapai dalam tempoh kurang 11 bulan meskipun industri automotif China berdepan persaingan sengit serta pengurangan insentif bagi kenderaan tenaga baharu (NEV).
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, jualan SMPV meningkat 43.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menjadikannya pengeluar automotif kategori sejuta unit dengan pertumbuhan terpantas.
Malah, syarikat itu turut merekodkan jualan bulanan melebihi 100,000 unit selama tujuh bulan berturut-turut bermula April lalu.

Segmen NEV menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila jualannya meningkat 157.6 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober. Bahagian NEV daripada keseluruhan jualan turut meningkat daripada 36.4 peratus pada Januari kepada 61.7 peratus pada Oktober.
Prestasi itu didorong penyusunan semula operasi syarikat yang mengintegrasikan pembangunan produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran serta pemasaran bagi mempercepatkan penghasilan model yang memenuhi keperluan pelanggan.
Kekuatan ekosistem SAIC Motor turut membantu perkembangan jenama Roewe dan MG menerusi perkongsian teknologi serta rangkaian pembekal, termasuk pembangunan bateri separa pepejal, sistem pengurusan haba dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Antara model yang mencuri perhatian ialah Roewe Jiayue 07 yang dilancarkan pada 23 Oktober lalu. Model itu menerima lebih 10,000 tempahan muktamad dalam tempoh satu minit 53 saat, selepas mencatat 51,827 tempahan awal. Penghantaran bermula 1 November dengan 5,000 unit diserahkan dalam minggu pertama.

Sementara itu, sedan sporty MG 07 yang diperkenalkan pada 21 Ogos lalu turut menerima sambutan menggalakkan apabila tempahan muktamad melebihi 10,000 unit dalam tempoh satu minit 57 saat. Jumlah tempahan terkumpul pula melepasi 42,000 unit dalam tempoh 20 hari.
MG 07 turut mencatat jualan melebihi 10,000 unit selama dua bulan berturut-turut, termasuk 12,393 unit pada Oktober.
Dalam segmen elektrik, MG4 mencatat jualan terkumpul global melebihi 525,000 unit. Di China, model itu merekodkan jualan 15,503 unit pada Oktober dan mengekalkan jualan bulanan melebihi 10,000 unit selama 13 bulan berturut-turut.
Di peringkat antarabangsa, MG4 turut memperoleh penarafan keselamatan lima bintang daripada Euro NCAP dan ANCAP, selain mencatat prestasi kukuh dalam segmen kenderaan elektrik kompak di Eropah.
SAIC menyifatkan pencapaian jualan sejuta unit itu sebagai hasil pengukuhan keupayaan operasi, pembangunan teknologi dan strategi yang lebih berorientasikan pelanggan. Syarikat itu akan terus memperkukuh penawaran teknologi serta daya saing produknya bagi mengekalkan pertumbuhan pada masa hadapan.



