Advertisements
Buletin

JETOUR TX, SUV ELEKTRIK PERTAMA JETOUR, BAKAL DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK 550KM, JANA 369HP

Jetour bakal memperkenalkan model kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya menerusi SUV kompak Jetour TX yang akan mula dibuka untuk tempahan awal pada 16 November ini, sempena persidangan 2026 Jetour Global Travel+ Conference.

Model yang turut dikenali sebagai Tourer itu hadir dengan jarak pemanduan maksimum sehingga 550 kilometer berdasarkan piawaian CLTC serta dilengkapi sistem bantuan pemanduan pintar Falcon 500.

Dari segi penampilan, Jetour TX mengetengahkan rekaan hadapan tanpa gril konvensional dengan lampu utama berkembar berbentuk bulat yang memberikan identiti retro. Reka bentuk badan turut mengambil kira aspek aerodinamik dengan pekali seretan 0.32.

SUV elektrik ini mempunyai ukuran panjang 4,605mm, lebar 1,880mm dan tinggi 1,700mm, manakala jarak roda adalah 2,735mm.

Ia turut menawarkan keupayaan untuk meredah laluan lasak dengan sudut pendekatan 21 darjah, sudut pelepasan 26 darjah, kelegaan tanah 200mm serta keupayaan meredah air sehingga 500mm.

Antara ciri tambahan termasuk kawalan merangkak ketika pemanduan luar jalan dan fungsi tank turn yang membolehkan kenderaan melakukan pusingan dalam ruang terhad.

Ruang kabin pula dilengkapi skrin sentuh utama bersaiz 15.6-inci dengan resolusi 2.5K yang menggunakan sistem Tour OS 3.5. Sistem berkenaan turut menyokong pengecaman suara iFlytek dan model kecerdasan buatan Doubao.

Tempat duduk dibangunkan dengan struktur 11 lapisan, selain tempat duduk hadapan yang menawarkan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan lapan titik. Penumpang hadapan turut menikmati fungsi Queen’s Co-pilot yang membolehkan tempat duduk direbahkan melalui satu sentuhan.

Jetour TX mempunyai kadar penggunaan ruang kabin sehingga 85 peratus, 31 ruang penyimpanan serta ruang but hadapan berkapasiti 150 liter yang boleh dibersihkan menggunakan air.

Dari aspek prestasi, model ini ditawarkan dalam pilihan pacuan dua roda (2WD) dan pacuan empat roda (4WD).

Pilihan rangkaian kuasa:

  • 2WD: Motor elektrik menghasilkan kuasa 200kW (268hp).
  • 4WD: Kuasa gabungan 275kW (369hp), dengan pecutan 0-100km/j dalam lingkungan lima saat.

Kedua-dua versi menggunakan pek bateri Rhino berkapasiti 67.2kWh keluaran Chery, dengan jarak pemanduan sehingga 550km mengikut piawaian CLTC. Penggunaan tenaga pula direkodkan pada 13.5kWh bagi setiap 100km.

Kenderaan ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output 6.6kW untuk membekalkan tenaga kepada peralatan elektrik luaran.

Sistem suspensi menggunakan konfigurasi MacPherson di bahagian hadapan dan suspensi bebas lima pautan di belakang.

Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, sistem Falcon 500 menawarkan fungsi navigasi pintar di lebuh raya dan bandar, selain sistem parkir pintar untuk pelbagai situasi.

Antara kelengkapan keselamatan yang disediakan termasuk brek kecemasan automatik (AEB), pencegahan keluar lorong, pengesan titik buta, amaran trafik lintang belakang serta sistem kamera panoramik 540 darjah sebagai kelengkapan standard.

Harga dan maklumat lanjut mengenai Jetour TX dijangka diumumkan kemudian.

Google ads
Back to top button