
EICMA2026: BENDA CAPRA 700 DEBUT DI MILAN – 73.4HP, 68NM
Jenama motosikal China, BENDA yang sinonim dengan motosikal jenis cruiser, membuat kejutan di EICMA 2026 apabila mengumumkan motosikal adventure pertama menerusi Capra 700.
Menurut pereka motosikal tersebut, reka bentuk Capra 700 mengambil inspirasi dari kambing gurun yang juga menyumbang kepada pemilihan nama model berkenaan.

Dari sudut rekaan, Capra 700 menampilkan ciri yang unik dengan penggunaan lampu hadapan berbentuk bulat, fender tinggi serta ekzos berkembar di belakang. Menariknya, motosikal ini turut dilengkapi dengan engine guard secara standard.
Capra 700 ini juga hadir dengan beberapa ciri praktikal termasuk tangki bahan api berkapasiti 18L dan pengecas USB Type-A.
Lebih menarik, ketika segmen ini rata-rata menggunakan enjin parallel-twin, Capra 700 pula dilengkapi dengan unit V-Twin 692cc yang berupaya menghasilkan 73.4hp dan 68Nm. Untuk rekod, ini adalah enjin sama yang terdapat pada model BENDA Rock 707.

Casis pula terdiri dari fork terbalik boleh laras dan monoshock di belakang dengan sistem linkage masing-masing menawarkan pelarasan compression dan rebound damping.
Melengkapkan imej sebuah motosikal adventure adalah penggunaan rim 21-inci hadapan dan 18-inci di belakang. Menurut BENDA, Capra 700 ini menawarkan berat sekitar 220kg dengan ketinggian tempat duduk sekitar 850mm.









