Buletin

STESEN MINYAK JUAL PETROL RON95 KEPADA KENDERAAN ASING DISIASAT KPDN PERAK

Tindakan menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing membawa padah apabila sebuah stesen minyak dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Taiping melakukan siasatan terhadap stesen minyak itu pada pukul 11 pagi semalam susulan aduan serta penularan maklumat di media sosial.

Beliau berkata, siasatan pihaknya terhadap kandungan tular berkaitan dakwaan pengisian minyak RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing itu kemudiannya dibuktikan benar.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 10 Ogos 2026 kira-kira pukul 4 petang.

“Pembelian petrol RON95 telah dibuat melalui bayaran menggunakan kaedah secara kad kredit di terminal pembayaran luar, manakala kenderaan yang digunakan pula disyaki menggunakan nombor pendaftaran asing,” katanya.

Kamalludin berkata, semakan transaksi jualan telah dibuat dan rakaman televisyen litar tertutup stesen minyak telah diperolehi dan disemak bagi membantu siasatan.

“Satu tindakan kes di bawah subperaturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026.

“Ia kerana melanggar subperaturan 3(1) peraturan yang sama iaitu tiada seorang pun boleh menjual petrol RON95 kepada mana-mana orang bagi kegunaan kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis Pengawal,” katanya.

Beliau berkata, satu kes lagi juga disiasat bagi Kesalahan di bawah subperaturan 4(3) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026.

Katanya, ia ekoran pelanggaran subperaturan 4(1) peraturan yang sama iaitu tiada seorang pun boleh membeli petrol RON95 bagi kegunaan kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis Pengawal.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button