
SEMUA VARIAN CR-V 2028 JADI HYBRID, ADA e-AWD ELEKTRIK BARU
Honda mengesahkan bahawa CR-V generasi ketujuh yang dijadualkan diperkenalkan sebagai model tahun 2028 akan menerima perubahan besar dari segi rangkaian kuasa, platform dan teknologi pemanduan. Antara perkembangan paling menarik ialah keputusan Honda untuk menawarkan CR-V baharu dengan rangkaian kuasa hibrid sepenuhnya bagi pasaran Amerika bakal menamatkan pilihan enjin petrol konvensional tanpa sistem hibrid.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Honda pada 12 November 2026 sebagai sebahagian daripada perancangan pengeluar itu untuk memperkenalkan CR-V baru pada tahun 2027 sebelum mula dipasarkan sebagai model tahun 2028. Antara perubahan paling ketara ialah penggunaan sistem hibrid generasi kelima Honda yang merupakan evolusi kepada teknologi dua motor e sedia ada.
Sistem baharu ini dibangunkan untuk menawarkan peningkatan kuasa, kecekapan bahan api serta pengalaman pemanduan yang lebih responsif berbanding model terdahulu. Honda turut mengesahkan bahawa sistem hibrid berkenaan akan menerima unit pacuan semua roda elektrik atau electric All-Wheel Drive (e-AWD) yang baharu.

Teknologi ini menggunakan motor elektrik untuk menggerakkan gandar belakang, berbeza dengan sistem AWD konvensional yang biasa nmenggunakan aci pemacu mekanikal untuk menghantar kuasa daripada enjin ke roda belakang. Penggunaan sistem e-AWD membolehkan pengagihan daya kilas antara gandar hadapan dan belakang dikawal dengan lebih pantas berdasarkan keadaan pemanduan.
Ia juga berpotensi meningkatkan cengkaman ketika melalui permukaan jalan licin serta memberikan kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh. Buat masa ini Honda masih belum mendedahkan konfigurasi motor elektrik, angka kuasa keseluruhan atau daya kilas yang bakal dihasilkan oleh sistem pacuan baharu tersebut.
Dari aspek kecekapan, Honda menyasarkan peningkatan penggunaan bahan api melebihi 10 peratus berbanding model terdahulu. Antara penambahbaikan yang dilakukan termasuk memperluaskan julat operasi enjin pada tahap kecekapan optimum serta meningkatkan kecekapan keseluruhan unit pacuan hibrid.

Sebagai perbandingan, Honda CR-V Hybrid generasi semasa untuk pasaran Amerika Syarikat menghasilkan kuasa gabungan sekitar 204 hp. Dengan sasaran peningkatan kecekapan, CR-V generasi baharu berpotensi menawarkan penggunaan bahan api yang lebih rendah tanpa mengorbankan prestasi pemanduan.
Selain rangkaian kuasa, CR-V generasi ketujuh turut akan menggunakan platform baharu yang dibangunkan dengan fokus terhadap pengurangan berat, peningkatan ketegaran struktur badan dan kecekapan pengeluaran. Honda menyatakan platform tersebut direka untuk menawarkan pengendalian lebih baik serta meningkatkan kestabilan kenderaan.
Ia turut membolehkan penggunaan komponen yang lebih modular bagi menyokong pembangunan beberapa model pada masa hadapan. Satu lagi teknologi yang disebut oleh Honda ialah Motion Management System yang mengintegrasikan kawalan kenderaan bagi meningkatkan kestabilan dan respons ketika mengambil selekoh.
Teknologi ini dijangka membantu memberikan pengalaman pemanduan yang lebih terkawal, khususnya ketika berhadapan perubahan arah dan permukaan jalan yang tidak sekata.Dari segi reka bentuk, Honda masih belum mendedahkan keseluruhan penampilan CR-V generasi baharu.

Buat masa ini, pengumuman mengenai rangkaian kuasa hibrid sepenuhnya ini merujuk kepada CR-V untuk pasaran Amerika Utara sahaja. Setakat ini, Honda belum mengesahkan sama ada konfigurasi yang sama akan ditawarkan untuk pasaran lain termasuk Malaysia.



