
TOYOTA YARIS 2027 DIPERKENALKAN – DUA VARIAN; 1.5G AT DAN 1.5E AT, REKAAN LEBIH SPORTY
UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Toyota Yaris 2027 yang hadir dengan penampilan lebih sporty, selain menerima penambahbaikan dari segi keselesaan, teknologi dan ciri keselamatan.
Model hatchback segmen-B itu ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5G AT dan 1.5E AT, dengan kedua-duanya mengekalkan ciri asas prestasi, keselamatan serta teknologi.
Bagaimanapun, varian 1.5G AT dilengkapi kelengkapan tambahan bagi memberikan suasana kabin lebih premium.
Antara perubahan utama dapat dilihat menerusi reka bentuk luaran yang lebih sporty serta kemas kini pada bahagian kabin.

Ruang dalaman kini dilengkapi paparan maklumat TFT bersaiz 4.2-inci dan sistem audio Display Audio baharu berukuran 9-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar.
Ciri kemudahan lain termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar, port USB Type-C, Smart Entry dan Push Start. Toyota turut menambah ruang penyimpanan dalam kabin serta lampu penumpang belakang bagi meningkatkan keselesaan penggunaan harian.
Bagi varian 1.5G AT, tempat duduk menggunakan kemasan kulit sintetik dengan reka bentuk struktur tempat duduk sporty, selain stereng berbalut kulit.
Dari sudut praktikaliti, Yaris 2027 menawarkan ruang bagasi berkapasiti 390 liter, tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40, dua cangkuk beg, penutup ruang kargo boleh tanggal serta tayar simpanan bersaiz penuh.

Kedua-dua varian dikuasakan enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi CVT. Sistem transmisi itu turut menawarkan fungsi tujuh kelajuan Sport Sequential Shiftmatic serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, ECO dan Sport.
Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre-Collision System dan Lane Departure Alert.
Ia turut menerima Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert serta sistem pemantauan pandangan sekeliling 3D Panoramic View Monitor.

Varian 1.5E AT kini turut dilengkapi sensor parkir hadapan dan empat sensor parkir belakang. Perlindungan penumpang pula disokong tujuh beg udara SRS.
Selain itu, Toyota Yaris 2027 menerima perakam video digital hadapan beresolusi 4K serta Vehicle Telematics System yang membolehkan pemilik mendapatkan maklumat perjalanan dan amaran berkaitan kenderaan.
UMWT turut menawarkan Toyota Extra Mile Ownership Experience kepada pemilik Yaris, merangkumi pelbagai perkhidmatan dan manfaat pemilikan bagi memberikan kemudahan serta ketenangan sepanjang tempoh penggunaan kenderaan.



