Advertisements
Buletin

PROTON S70 RS LEBIH SPORTY – JANA 181PS , KABIN SERBA BAHARU

PROTON memperkenalkan S70 RS sebagai varian baharu yang membawa penampilan lebih sporty serta penambahbaikan dari aspek prestasi, teknologi dan keselamatan kepada sedan segmen C itu.

Dibangunkan berasaskan DNA model S70 sedia ada, varian RS menerima perubahan ketara pada bahagian luaran dan kabin bagi memberikan identiti lebih agresif berbanding varian lain.

Antara perubahan utama ialah gril hadapan baharu, bampar depan dan belakang dengan reka bentuk lebih sporty, spoiler belakang hitam berkilat serta rim aloi gelap 17-inci yang dipadankan dengan angkup brek berwarna merah.

Penampilan itu turut dilengkapi kemasan hitam pada bumbung, pemegang pintu dan cermin sisi, selain skirt sisi dengan jalur merah serta empat muncung ekzos pada bahagian belakang.

Ruang kabin pula menerima kemasan dua tona hitam dan merah, termasuk tempat duduk sporty dengan tali pinggang keselamatan merah. Turut diberikan ialah sistem pencahayaan ambien 256 warna dengan beberapa mod pencahayaan, konsol tengah terapung serta pengecas telefon tanpa wayar.

S70 RS turut dilengkapi skrin infotainmen bersaiz 14.6-inci dengan antara muka baharu dan paparan meter digital 8.8-inci. Sistem berkenaan menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, aplikasi TikTok, navigasi terbina dalam serta penstriman muzik dalam talian.

Menariknya, model ini turut memperkenalkan arahan suara Hi PROTON dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, selain sistem Proton Link 2.0 yang menyokong integrasi jam tangan pintar Huawei bagi membolehkan beberapa fungsi kenderaan dikawal dari jauh.

Dari aspek prestasi, S70 RS menggunakan enjin 1.5 liter turbo i-GT empat silinder yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (DCT).

Gabungan rangkaian kuasa itu menghasilkan kuasa 181PS dan tork 290Nm. Pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam pula mengambil masa 7.5 saat, iaitu 2.1 saat lebih pantas berbanding model terdahulu yang dinyatakan dalam bahan pembentangan.

PROTON turut memperkenalkan empat mod pemanduan iaitu Adaptive, Eco, Sport dan Comfort, selain tiga pilihan mod stereng bagi membolehkan pemandu menyesuaikan karakter pemanduan mengikut keadaan.

Dari aspek keselamatan, S70 RS dilengkapi 15 fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2, termasuk;

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Lane Departure Warning
  • Lane Keeping Control
  • Adaptive Cruise Control

Ciri keselamatan lain merangkumi;

  • Enam beg udara
  • Kamera HD 540 darjah
  • Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • Pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan
  • Fungsi Walk Away Auto Lock

Model ini ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu;

  • Quartz Black
  • Space Grey
  • Snow White
  • Marine Blue
  • Armour Silver

Dari segi harga, PROTON belum mendedahkan mengenai tanda harga S70 RS ketika sesi pratonton media berlangsung.

Sebagai rujukan, varian S70 Executive yang sebelum ini ditawarkan pada harga RM68,800 telah dihentikan pengeluarannya.

Bagi model MC1, varian Premium mempunyai harga jualan disyorkan RM74,800 atas jalan tanpa insurans, manakala Flagship ditawarkan pada RM84,800 dan Flagship X yang dilengkapi bumbung suria menjadi varian tertinggi pada harga RM89,800.

S70 RS hadir sebagai evolusi terbaharu keluarga S70 yang sebelum ini mencatatkan lebih 82,400 unit jualan di pasaran domestik dan eksport sejak diperkenalkan pada November 2023.

GALERI:

Google ads
Back to top button