Buletin

LELAKI BAWA POKOK PISANG SECARA MELINTANG DENGAN VIOS DITAHAN POLIS. ADA 18 SAMAN TRAFIK, 4 WARAN TANGKAP

Tindakan seorang lelaki yang membawa sebatang pokok pisang secara melintang menggunakan kereta sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain telah menyebabkan dia ditahan polis. 

Penahanan juga membongkar bahawa lelaki berusia 30 tahun itu mempunyai 18 saman trafik, empat waran tangkap serta 10 saman  ‘non-compoundable’ yang masih belum selesai.

Kesalahan itu dilakukannya di Jalan Persiaran Utama, Mutiara Rini, Skudai, Johor semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki  yang hadir di Balai Polis Trafik Iskandar Puteri bagi memberi keterangan berhubung insiden terbabit kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi menyelesaikan saman tertunggaknya.

Dia juga dikenakan saman trafik atas kesalahan membawa muatan dengan kenderaan yang tidak sesuai. 

Selepas rakaman video sebuah sebuah Toyota Vios membawa sebatang pokok pisang secara melintang itu tular di media sosial, polis telah menghubungi pemilik kenderaan Toyota Vios tersebut yang berada di Singapura.

“Anak pemilik kenderaan itu hadir di balai memberi keterangan semalam dengan menyatakan kereta tersebut dipandu oleh sepupunya yang membawa pokok pisang untuk tujuan upacara sembahyang di kawasan Mutiara Rini,” katanya.

Susulan itu, suspek hadir di balai polis untuk membantu siasatan pada 9.30 pagi tadi yang membawa kepada pembongkaran pelbagai saman lampau tertunggaknya.

Kenderaan itu turut disita mengikut Sekyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta kenderaan dipandu tanpa lesen. – BERNAMA

Google ads
Back to top button