Buletin

MAZDA COSMO SPORT – 50 TAHUN TEKNOLOGI ENJIN ROTARY

Pada 30 Mei 1967 telah berlakunya satu sejarah. Apakah peristiwa itu? Kegemilangan budaya hippies? Muzik pop yeh-yeh? Perlumbaan Penang GP?

Okay. Kesemuanya salah.

50 tahun lepas pada tarikh ini, Mazda telah mencipta sejarah automotif dengan mengeluarkan Mazda Cosmo Sport. Model itu melakar sejarah apabila ia adalah kereta pertama yang dikuasakan enjin rotary. Kereta sport dengan dua tempat itu adalah lambang kepada legasi inovasi Mazda hingga ke hari ini.

Pada tahun 1967, Mazda melancarkan kereta pertama yang dikuasakan oleh enjin dua rotor dengan nama Cosmo Sport. Di luar negara kereta dua pintu itu dipanggil sebagai Mazda 110S. Lebih menarik ia sebenarnya ialah kereta sport pertama keluaran Mazda dan dikatakan DNA pada model itu kekal diteruskan pada produk sporti lain seperti RX-7 dan MX-5.

Dikatakan juga ia turut kekal pada setiap kenderaan yang dikeluarkan Mazda sehingga hari ini. Walau bagaimanapun, jumlah Mazda Cosmo Sport yang dikeluarkan tidak banyak, hanya 1176 buah sahaja tetapi ia merupakan momen penting buat Mazda kerana sebelum itu mereka hanya mengeluarkan trak dan kereta kecil.

Ia momen yang penting kerana dari situ Mazda sudah mula beralih dari produk kebiasaan kepada sesuatu yang menarik, unik dan lari daripada amalan kejuruteraan normal.

Dek kerana ingin melawan arus, jurutera Mazda telah mengharungi pelbagai rintangan bagi membolehkan ia dipasarkan. Mereka menguji model prototaip beribu-ribu kilometer sebelum ia ditawarkan kepada pengguna.

Lebih menarik walaupun begitu banyak syarikat termasuk pengeluar kereta ternama cuba untuk mendapatkan lesen perjanjian dengan NSU bagi membangunkan teknologi baharu yang dimiliki oleh pengeluar kenderaan Jerman itu namun kesemuanya telah gagal kecuali satu syarikat.

Dan berikutnya ialah satu lagi sejarah apabila Mazda telah berjaya mengeluarkan dua juta unit kenderaan yang dijanakan oleh enjin rotary. Dan ia tidak tidak terhenti setakat itu apabila Mazda turut mencatat sejarah gemilang dalam dunia perlumbaan.

BACA: MAZDA BUKA MUZIUM DI JERMAN – PUSAT KOLEKSI KENDERAAN KLASIK MAZDA KEDUA DI DUNIA!

BACA: MAZDA CX-5 GENERASI BARU LEBIH PREMIUM – MESTI TUNGGU, LANCAR JULAI 2017    

Sebagai contoh, Mazda RX-7 telah mendominasi perlumbaan sama kelas dalam kejohanan IMSA (International Motor Sport Association) yang dianjurkan pada tahun 80 an.

Kemenangan terbesar pula berjaya diraih Mazda pada tahun 1991 dengan jentera 787B yang dikuasakan oleh enjin 2.6 liter empat rotor berkuasa 710PS memenangi perlumbaan Le Mans. Ini adalah satu-satunya rekod kemenangan yang dimenangi oleh enjin tanpa omboh dan yang pertama seumpamanya untuk jenama Asia.

Semangat untuk mencuba perkara baharu dan tanpa lelah menolak sempadan adalah suatu yang sinonim buat Mazda. Mazda juga sinonim dengan falsafah Jinba-Ittai yang memberi maksud kereta dan pemandu adalah satu dan ini boleh disaksikan pada model MX-5 yang menjadikannya sebuah roadster popular di dunia.

Sekarang ini, Mazda membawakan teknologi SKYACTIV pula. Bernadikan konsep ringan dan lari daripada kelaziman seperti yang mereka cetus melalui enjin rotary. Teknologi SKYACTIV yang terdiri daripada nadi kuasa, pelantar, badan kereta dan lain-lain pada kereta Mazda hari ini ialah pencapaian kejuruteraan bagi meraih kombinasi di antara prestasi dan penjimatan.

Enjin SKYACTIV misalnya berjaya menyelesaikan masalah yang sinonim daripada enjin dengan mampatan tinggi dan pada masa yang sama menawarkan keseronokan pemanduan serta penjimatan bahan api dan emisi.

Impian, semangat dan penghasilan seperti itulah yang menjadikan Mazda berbeza dari pesaingnya.

Google ads
Back to top button