Buletin

MAZDASPORT ACADEMY ADVANCE TRAINING – LATIH PESERTA JADI PEMANDU YANG LEBIH SELAMAT

Baru-baru ini, saya berkesempatan menyertai kursus pemanduan defensif yang dianjurkan oleh Bermaz Motor.

Dikenali sebagai Mazdasport Academy Advance Driving, ini merupakan sesi yang julung-julung kali mereka adakan. Menurut Ketua Jurulatih Jinba Ittai, Ian Khong, beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk meyakinkan Mazda Jepun untuk menjalankan aktiviti ini.

Namun, usaha itu nyata berbaloi apabila program tersebut mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pemilik Mazda. Buktinya, dalam tempoh sejam sahaja lebih 100 peserta telah membuat pendaftaran. Akhirnya, seramai 40 peserta dipilih berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Bagi memastikan peserta komited dengan program ini, mereka dikenakan yuran komitmen sebanyak RM80. Angka ini sebenarnya sangat murah jika dibandingkan dengan pengalaman dan ilmu yang mereka diperolehi.

Buat permulaan, pemilik Mazda2, Mazda3 dan Mazda CX-3 diberi keutamaan. Tetapi jangan bimbang, ia akan diperluaskan kepada lebih banyak model Mazda pada masa depan. Terutama model yang lebih besar seperti CX-5.

Posisi memandu yang betul

Sebelum peserta dilepaskan ke lapangan, mereka diberi taklimat terlebih dahulu. Antara aspek yang diketengahkan adalah bagaimana posisi duduk dan cara memegang stereng dengan betul.

Sebelum memandu, anda perlu membetulkan kedudukan. Di sini, kita dapat lihat bahawa kebanyakan pemandu duduk dalam posisi pemanduan yang salah.

Aspek ini melibatkan jarak kaki dengan pedal minyak dan brek, ketinggian tempat duduk dan kedudukan bahagian belakang yang haruslah lebih tegak.

Secara ringkasnya, kedua-dua belah tangan yang memegang seterng hendaklah berada dalam keadaan bengkok. Begitu juga dengan kaki. Jarak kaki dengan pedal minyak dan brek hendaklah betul bagi membolehkan anda menekan brek sepenuhnya apabila berlaku kecemasan.    

Kalau kita perasan, banyak betul cara pemandu memegang stereng mereka. Tetapi, hanya dua cara yang betul iaitu sama ada pegang pada kedudukan 9-3 atau 2-10. Selain daripada itu, cara yang anda pegang adalah salah.

Memegang stereng dengan betul sangat penting kerana ia boleh mempengaruhi bagaimana kenderaan dikawal sebaiknya.

Brek kecemasan & mengelak halangan

Sesi latihan pemanduan yang mengambil masa lebih setengah hari itu dimulakan dengan brek kecemasan.

Latihan ini dilakukan kerana ramai pemandu sebenarnya tidak tahu, tidak berani atau mungkin tidak pernah menekan brek sehingga sistem brek anti kunci (ABS) kenderaan mereka benar-benar berfungsi.

Bagi memberi keyakinan kepada peserta, kelajuan ditingkatkan daripada 40km/j, kepada 50km/j dan 60km. Mereka mesti membrek sekuat hati apabila sampai di kon yang telah ditetapkan dan memastikan kereta berhenti sepenuhnya.

Menukar haluan

Latihan ini memerlukan pemandu menukar haluan atau mengelak halangan tanpa perlu menekan brek. Di sini, satu perkara yang diajar adalah pemandu mesti melihat ke arah tempat yang dituju, bukan halangan di hadapan.

Ketika inilah cara memegang stereng dengan betul memainkan peranannya. Jika stereng dipegang dengan cara yang salah, pasti kon halangan akan dilanggar dan pemandu tidak boleh membetulkan kedudukan stereng dengan pantas.

Slalom

Slalom yang dilakukan pada kelajuan 20 hingga 30km/j bertujuan untuk melatih kepantasan tangan mengendalikan stereng dengan tepat. Pada masa yang sama, latihan ini boleh menguji kelincahan kenderaan dan tahap olengan tubuhnya.

Untuk mencatat masa terpantas ketika slalom, pemandu harus mengekalkan kelajuan yang konsisten, selain mengurangkan kilasan stereng sebaik mungkin. Ia mungkin kelihatan senang, tetapi selepas dilatih beberapa kali, anda pasti boleh melakukannya. 

Kawalan gelincir

Dalam sesi ini, pemandu diarahkan untuk memandu pada kelajuan sekitar 60km/j di atas permukaan yang basah dan memusing stereng ke arah kiri. Latihan itu ingin menunjukkan bahawa kenderaan boleh hilang kawalan dengan mudah apabila berlakunya aquaplaning.

Aquaplaning bermaksud tayar tidak lagi bersentuh dengan permukaan jalan kerana jumlah air yang ada di atas jalan gagal ‘dialihkan’ oleh tayar. Justeru, para peserta diingatkan supaya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan terutama ketika hujan.

Sesi ini juga melatih pemandu bagaimana untuk mengawal kenderaan selepas tayar kembali mendapat cengkaman apabila bersentuh dengan permukaan jalan yang tidak lagi licin.

Ujian masa

Mazdasport Academy Advance Driving ditamatkan dengan sesi ujian masa di mana peserta berpeluang mengaplikasikan segala yang sempat dipelajari sepanjang hari.

Para peserta dilihat bersungguh-sungguh untuk mencatat masa terbaik ketika melalui laluan yang ditetapkan. Di sini, segala pengetahuan yang diserap digunakan sebaik mungkin.

Sebelum beredar, semua peserta diberikan sekeping sijil menandakan bahawa mereka telah menamatkan kursus Mazdasport Academy Advance Driving.

Diharapkan Bermaz Motor dan pengeluar kenderaan yang lain akan menjalankan aktiviti seperti ini dengan lebih kerap, demi mendidik orang ramai menjadi pemandu yang lebih selamat.

Terima kasih Mazda!

Google ads
Back to top button