PININFARINA MAHU HASILKAN KERETA HIPER 400 KM/J!
Pininfarina adalah satu nama besar dalam dunia automotif. Nama ini berada di sebalik model-model rupawan Ferrari dan pelbagai lagi produk automotif yang cantik.
Pininfarina tidak sahaja merekabentuk kereta untuk jenama premium tetapi juga jenama kebanyakan seperti Chery, Daewoo dan Hyundai.
Suatu yang menarik apabila Pininfarina terlibat dalam merekabentuk Mitsubishi Grand Lancer 2017 khusus untuk pasaran China dan Taiwan.
Walaupun Pininfarina banyak terlibat dalam projek Ferrari dan berasal pula dari Itali, milikan firma itu dipegang syarikat dari India iaitu Mahindra Group dengan transaksi pada Disemberi 2015.
Sejak itu bermulalah era baharu untuk Pininfarina. Melalui satu perjanjian perlesenan hakcipta, sebuah syarikat baharu yang dinamakan Automobili Pininfarina dilancarkan kepada umum pada April tahun ini.
Automobili Pininfarina dimiliki sepenuhnya oleh Mahindra & Mahindra Ltd investment dan langkah pertama syarikat ini ialah menghasilkan kereta ultra mewah hiper dengan nama PF0.
Jika diperhatikan sekarang ini, beberapa syarikat ternama seperti Aston Martin dan Mercedes-Benz telah mengumumkan kereta hiper masing dan itu tidak termasuk syarikat baharu yang mahu merebut pasaran yang boleh dikatakan tidak besar mana pun.
Jualan untuk sesebuah pengeluar kereta super ialah di antara 4,000 hingga 8,000 unit setahun tetapi semangat untuk mengeluarkan produk tidak pernah putus.
Di antara sebab musabab penawaran ini ialah kerana margin yang begitu besar selain daripada teknologi nadi kuasa dan kaedah pembuatan yang lebih mudah dipraktiskan.
Sama seperti kereta hiper lain, PF0 akan menggunakan motor elektrik dengan prestasi menggagumkan. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa kurang dari dua saat dengan kelajuan melebihi 402 km/j dan pada jarak cas penuh lebih dari 482 km.
BACA: KOENIGSEGG – DULU PENGELUAR KECIL KINI GERGASI DUNIA HYPERCAR
BACA: McLAREN KERUSI DI TENGAH BAKAL KEMBALI, KELAJUAN LEBIH 391 KM/J!
Ini adalah suatu angka yang luarbiasa tetapi boleh dicapai memandangkan ia menggunakan motor elektrik.
Bagi memastikan kejayaan tersebut, Automobili Pininfarina turut mengumumkan bekas pelumba Formula 1 iaitu Nick Heidfeld dalam pasukan pembangunan PF0.
Di manakah kereta ini hendak dijual? Automobili Pininfarina merasakan Amerika Utara bakal menjadi pasaran terbesar kereta ini berdasarkan minat pembeli terhadap kereta rekaan Pininfarina dan juga kereta elektrik.
PF0 dirancang untuk dipasarkan secara rasmi pada penghujung 2020 dan ini bukanlah projek pertama dan terakhir. Automobili Pininfarina mahu menghasilkan kereta elektrik dan juga SUV mewah.
Nampaknya teknologi elektrik berjaya membuka peluang kepada lebih banyak tawaran menarik dan meluaskan lagi sempadan kereta mewah. Bukan lagi Ferrari atau Lamborghini sahaja.