Buletin

CONTINENTAL PERKENAL EKOSISTEM IN-STORE MARKETPLACE, PERMUDAH PEMBELIAN TAYAR

Continental Tyres Malaysia memperkenalkan konsep Ekosistem In-Store Marketplace bagi memperbaharui pengalaman pembelian tayar di negara ini menerusi gabungan platform digital dan perkhidmatan profesional di pusat jualannya.

Inisiatif baharu itu direka untuk membantu pengguna mendapatkan maklumat tayar dengan lebih mudah dan telus, termasuk semakan harga, ketersediaan stok serta pilihan produk sebelum membuat keputusan pembelian.

Melalui platform tersebut, pelanggan boleh meneroka rangkaian tayar Continental dan General Tire yang bersesuaian dengan kenderaan mereka, membuat pembelian serta menempah pemasangan di pusat servis yang mengambil bahagian menerusi satu sistem yang lebih teratur dan mesra pengguna.

Menurut Continental Tyres Malaysia, langkah itu diambil bagi menangani beberapa cabaran yang sering dihadapi pengguna ketika membeli tayar, termasuk maklumat harga, kesukaran menyemak stok dan kekurangan maklumat produk.

Konsep baharu itu turut membolehkan pelanggan mengakses maklumat tayar melalui kod QR yang disediakan di premis pengedar.

Dengan cara ini, pelanggan boleh menyemak spesifikasi, harga dan pilihan yang tersedia sementara menunggu khidmat nasihat daripada kakitangan jualan.

Selain itu, pelanggan yang melihat promosi atau kandungan tayar di media sosial pengedar juga boleh mengakses pautan marketplace untuk mengetahui maklumat lanjut, membuat pembelian dan menetapkan tarikh pemasangan.

Bagi mereka yang ingin membuat persediaan sebelum berkunjung ke pusat jualan, platform tersebut turut membolehkan pelanggan berhubung dengan pengedar pilihan untuk mendapatkan sebut harga rasmi, membuat tempahan dan mengatur pemasangan lebih awal.

Sempena pelancarannya, Continental menawarkan ganjaran Touch ‘n Go eWallet sehingga RM200 kepada pelanggan yang membeli dua atau empat tayar Continental atau General Tire melalui In-Store Marketplace di pusat jualan terpilih sehingga 31 Oktober 2026.

Bagi tayar bersaiz rim 15 hingga 16-inci, pelanggan boleh menerima ganjaran RM30 untuk pembelian dua tayar dan RM60 bagi empat tayar. Untuk rim 17 hingga 18-inci, ganjaran yang ditawarkan ialah RM60 dan RM120, manakala pembelian tayar bersaiz rim 19-inci dan ke atas layak menerima sehingga RM100 bagi dua tayar atau RM200 untuk empat tayar.

Pelanggan yang layak turut boleh menikmati diskaun sehingga 10 peratus melalui kemudahan SPayLater, tertakluk kepada perbelanjaan minimum RM200 dan had maksimum diskaun RM100.

Sebagai nilai tambah, tayar Continental dan General Tire yang terlibat dalam program ini dilindungi oleh Waranti Pengilang Tayar Sepanjang Hayat bagi kecacatan pembuatan sepanjang tempoh penggunaan tayar.

Pembeli juga boleh mendaftarkan pembelian menerusi aplikasi Conti TCP untuk menikmati perlindungan TCP Road Hazard Warranty selama 12 bulan dari tarikh pembelian, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Google ads
Back to top button