
TIADA KESAN AIR DALAM TANGKI RON95 STESEN MINYAK BATU KAWAN – KPDN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menemui sebarang tanda kehadiran air dalam tangki simpanan petrol RON95, yang didakwa menyebabkan sejumlah kenderaan gagal dihidupkan selepas mengisi minyak.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, pemeriksaan dijalankan susulan hantaran yang tular di media sosial berhubung dakwaan berkenaan.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, semakan rekod Automatic Tank Gauge (ATG) bagi tangki RON95 tidak menunjukkan sebarang bacaan kehadiran air sepanjang tempoh tiga hari terdahulu sehingga pemeriksaan dibuat.
“Pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian ‘tank sump’ juga tidak menemukan pengumpulan air selain pemeluwapan biasa,” katanya di sini, tadi.
Jegan berkata, pemeriksaan secara manual turut dilakukan terhadap kedua-dua tangki RON95 menggunakan Water Finding Paste (WFP) bagi mengesan kemungkinan terdapat air dalam tangki.
Katanya, sapuan WFP pada kayu pengukur tidak menunjukkan sebarang perubahan warna yang boleh menjadi petunjuk kehadiran air.
“Pemeriksaan visual terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam juga mendapati petrol kelihatan jernih dan tiada pencemaran dapat dikesan secara pemerhatian mata kasar,” katanya.
Beliau berkata, KPDN bersama pihak syarikat minyak dan pengusaha stesen akan meneruskan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh. –KOSMO! ONLINE





