Buletin

JPJ GANTUNG PERKHIDMATAN MYEG SEBAGAI EJEN PEMUNGUT MULAI 5 OKTOBER

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah kumpulan MYEG, sebagai ejen kutipan jabatan berkuat kuasa Isnin ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepatuhan terhadap terma dan syarat perjanjian, serta tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat itu.

“JPJ ingin memaklumkan perkhidmatan My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan bagi pihak JPJ akan digantung berkuat kuasa jam 12.01 pagi, 5 Oktober,” katanya.

Susulan keputusan itu, Aedy berkata, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG juga akan digantung mulai Isnin ini.

Bagaimanapun, katanya, JPJ memberi jaminan kepada orang ramai perkhidmatannya akan diteruskan seperti biasa melalui saluran rasmi dan saluran alternatif yang disediakan oleh jabatan.

“Bagi urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor, orang ramai boleh menggunakan kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter JPJ Mobile, cawangan Pos Malaysia dan Puspakom bagi kenderaan persendirian serta perdagangan bawah kategori de-controlled,” katanya.

Aedy berkata, bagi pembaharuan Lesen Memandu Malaysia, saluran yang disediakan ialah kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter JPJ Mobile dan Pos Malaysia.

Permohonan Lesen Belajar Memandu pula boleh dibuat di kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ dan kaunter JPJ Mobile.

Bagi semakan dan pembayaran saman, orang ramai boleh berbuat demikian menerusi kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ dan kaunter JPJ Mobile.

Katanya, bagi urusan tukar hak milik kenderaan, saluran yang tersedia merangkumi kaunter JPJ, kios JPJ bagi transaksi motosikal individu persendirian warga tempatan, Portal Awam JPJ bagi individu persendirian dan syarikat, serta syarikat eAuto menerusi Sistem Pertukaran Hak Milik Sementara dan eSerahan Hak Milik.

Aedy berkata, tempahan Ujian Undang-Undang Komputer (KPP01) yang sudah dibuat menerusi MYEG sebelum tarikh penggantungan pada 5 Oktober boleh diteruskan seperti biasa.

“Bagaimanapun, bagi tempahan baharu bermula 5 Oktober, tempahan dan pelaksanaan ujian mesti dibuat menerusi Pusat Ujian KPP yang disediakan di institut memandu seluruh negara,” katanya.

Bagi pembayaran saman membabitkan warga asing di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan menerusi Unit JPJ Mobile yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

Kemudahan itu akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

Aedy turut menasihati orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap urus niaga berjalan lancar dan selamat.

“JPJ kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada awam serta memastikan setiap urus niaga dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti,” katanya.

Langkah penggantungan itu menyusul selepas Kementerian Pengangkutan mengesahkan kepada portal berita perniagaan The Edge bahawa Zetrix AI terhutang lebih RM200 juta tunggakan hasil yang belum diserahkan kepada kerajaan.

Jumlah itu membabitkan wang yang dikutip daripada pelanggan bagi urusan pembaharuan cukai jalan, pembaharuan lesen memandu dan pembayaran saman trafik.

Akhbar The Straits Times yang memetik dokumen rasmi melaporkan tunggakan kutipan yang belum diserahkan itu dikesan sejak bermulanya kontrak tiga tahun Zetrix AI bersama JPJ pada Mei 2023.

Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd.

Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan dalam talian kerajaan, termasuk perkhidmatan berkaitan JPJ sejak tahun 2000. – Berita Harian

Google ads
Back to top button