Buletin

MIYAZONO, SOLIS KUASAI PENTAS GRAN TURISMO WORLD SERIES DI SINGAPURA

Gran Turismo World Series mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya singgah di Asia Tenggara menerusi Pusingan Ketiga yang berlangsung di Sands Theatre, Marina Bay Sands, Singapura, Sabtu lalu.

Acara berprestij sukan elektronik permotoran itu menghimpunkan pelumba maya terbaik dunia menerusi kategori Manufacturers Cup dan Nations Cup, selain perlumbaan Singapore Regional Gran Turismo Cup yang menampilkan bakat serantau.

Penganjuran di Singapura turut menyaksikan penglibatan Dunlop yang menggunakan platform GT7 untuk mendekati generasi baharu peminat automotif dan perlumbaan.

Melalui kerjasama itu, Dunlop menghubungkan warisan panjangnya dalam sukan permotoran dengan dunia perlumbaan maya yang semakin berkembang.

Pada masa sama, Toyotsu Binter membawa pengedar, pelanggan dan tetamu jemputan untuk merasai sendiri suasana perlumbaan simulator kompetitif, sekali gus memperkenalkan e-sukan permotoran kepada khalayak yang lebih luas.

Dalam saingan Manufacturers Cup, wakil Subaru, Daniel Solis, mencuri tumpuan apabila menukar kedudukan petak utama kepada kemenangan selepas mempamerkan persembahan konsisten sepanjang perlumbaan 20 pusingan di litar Autodrome Lago Maggiore Reverse.

Solis yang memandu Subaru BRZ berjaya menahan asakan sengit pelumba Ferrari, Nicolás Arriagada, pada pusingan terakhir sebelum melintasi garisan penamat dengan kelebihan hanya 0.123 saat.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Solis kerana ia merupakan kemenangan individu pertamanya dalam saingan World Series selepas lapan tahun beraksi di pentas tertinggi Gran Turismo.

Tempat ketiga menjadi milik Samuel Cardinal yang mewakili Mazda, manakala Audi dan Porsche melengkapkan kelompok lima terbaik. Walaupun Porsche masih mendahului carta Manufacturers Cup, jurangnya kini hanya dua mata di hadapan Ferrari.

Sementara itu, Nations Cup menyajikan aksi lebih dramatik apabila pelumba Jepun, Takuma Miyazono, menggunakan strategi tiga hentian pit yang berbeza daripada pencabar lain untuk meraih kemenangan.

Perlumbaan akhir sejauh 24 pusingan di Circuit de Sainte-Croix B Reverse menyaksikan Miyazono menyimpan tayar keras untuk digunakan pada penghujung perlumbaan sebelum muncul pendahulu menjelang pusingan terakhir.

Ketika memasuki selekoh terakhir, Pol Urra cuba memintas dari bahagian luar namun berlaku sentuhan yang menyebabkan pelumba Sepanyol itu terbabas ke penghadang.

Insiden tersebut membuka ruang kepada juara bertahan, Jose Serrano, untuk merampas tempat kedua, manakala Miyazono terus memecut ke garisan penamat dan menang dengan kelebihan 0.400 saat.

Walaupun keputusan perlumbaan dikekalkan selepas semakan pihak pengadil, Miyazono mengakui beliau tidak berpuas hati dengan insiden tersebut dan percaya situasi itu boleh dielakkan.

Kemenangan itu merupakan kejayaan pertama Miyazono dalam Nations Cup sejak menjuarai Final Dunia 2024 di Amsterdam.

Serrano pula muncul antara watak utama perlumbaan apabila bangkit daripada kedudukan terakhir ketika sesi kelayakan untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Keputusan itu membolehkannya terus mendahului carta keseluruhan dengan 12 mata walaupun masih belum memenangi sebarang pusingan musim ini.

Dengan hanya dua mata memisahkan empat pelumba teratas, perebutan kejuaraan Nations Cup kini semakin terbuka menjelang aksi final yang akan berlangsung di Tokyo pada 5 dan 6 Disember depan.

Selain aksi perlumbaan, penganjur turut mengumumkan kemas kini baharu Gran Turismo 7, dikenali sebagai Spec IV Part 1, yang bakal dilancarkan pada 15 Oktober.

Kemas kini tersebut memperkenalkan litar Sportsland Sugo serta enam kenderaan baharu iaitu Citroën 2CV Charleston 1986, Ferrari F355 Berlinetta 1994, Honda Civic Si Group A Version 1987, Honda Stepwgn Spada 2023, Mazda RX-Vision GT3 Evo dan Xiaomi Vision Gran Turismo.

Turut diperkenalkan ialah beberapa ciri baharu termasuk Car Viewer yang membolehkan pemain melihat dan mengambil gambar kenderaan secara lebih terperinci, Experiences Mode yang menawarkan aktiviti tambahan di pusat jenama dalam permainan, serta Car Concierge yang memudahkan pemain mendapatkan model-model kenderaan jarang ditemui.

Perkembangan itu mengukuhkan lagi kedudukan Gran Turismo sebagai antara platform e-sukan permotoran paling berpengaruh di dunia, sambil menghubungkan komuniti perlumbaan maya dengan industri automotif global.

Google ads
Back to top button