
KIA CARNIVAL 2026 RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM188K
Kia Sales Malaysia (KSM) secara rasmi melancarkan Kia Carnival Baharu, model MPV bersaiz besar yang tampil dengan penambahbaikan menyeluruh dari segi reka bentuk, keselesaan kabin serta teknologi.
Carnival generasi terbaharu ini ditawarkan dalam dua pilihan varian pemasangan tempatan (CKD), iaitu versi 2.2D 11 tempat duduk dan 2.2D 7 tempat duduk.
Susunan ini memberi pilihan sama ada untuk kegunaan keluarga besar, perkhidmatan korporat atau individu yang mahukan MPV dengan tahap keselesaan tinggi.
Kedua-dua varian menggunakan enjin turbodiesel empat silinder Smartstream 2.2 liter yang menghasilkan kuasa 202PS pada 3,800rpm serta tork maksimum 440Nm antara 1,750 hingga 2,750rpm.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik lapan kelajuan, dengan penggunaan bahan api gabungan dianggarkan sekitar 6.5 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran NEDC.
Mengikuti falsafah reka bentuk global Kia “Opposites United”, Carnival Baharu menerima sentuhan visual yang lebih berani dan kontemporari.
Bahagian hadapan kini menampilkan gril bersaiz besar yang digabungkan dengan bampar berukir kemas, memberikan rupa yang lebih lebar dan aerodinamik. Elemen lampu siang hari dengan grafik “Star Map” serta rekaan lampu utama menegak menambah identiti futuristik pada MPV ini.
Di bahagian belakang, nombor plat telah dialihkan ke bahagian bawah pintu but, menjadikan permukaan pintu lebih kemas dan seimbang, manakala lampu belakang turut menggunakan motif Star Map yang selari dengan bahasa reka bentuk terbaharu Kia.

Ruang dalaman Carnival Baharu direka untuk menampung keperluan berbeza. Varian tujuh tempat duduk menggunakan konfigurasi 2-2-3 dan dilengkapi kerusi Relaxation Premium di baris kedua dengan fungsi gelongsor sisi, selain tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat rata bagi memaksimumkan ruang barangan.
Bagi varian 11 tempat duduk pula, susunan 2-3-3-3 digunakan, dengan kerusi tengah pada baris kedua dan ketiga boleh dilipat bagi memudahkan pergerakan penumpang ke bahagian belakang.
Sentuhan moden turut diserlahkan melalui pencahayaan ambien pada papan pemuka, panel pintu dan pelapik dalaman, selain susun atur panel instrumen dan kawalan pendingin hawa yang disepadukan secara mendatar untuk penampilan lebih kemas.
Salah satu tarikan utama ialah paparan panorama melengkung yang menggabungkan skrin meter digital 12.3-inci dan skrin infohibur 12.3-inci dalam satu panel besar, menjadikan ruang pemandu tampak lebih mewah dan berteknologi tinggi.

Kia turut menambah baik aspek praktikal dengan kawalan fizikal yang mudah dicapai serta pemegang cawan bersaiz besar untuk kegunaan harian seisi keluarga.
Untuk keselamatan, Carnival Baharu dilengkapi lapan beg udara, termasuk beg udara sisi tengah bagi mengurangkan risiko perlanggaran antara pemandu dan penumpang hadapan semasa kemalangan.
Selain itu, semua varian turut menerima sistem bantuan pemandu termaju sebagai ciri standard, antaranya:
- Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan 2.0 (FCA 2.0)
- Bantuan Had Kelajuan Pintar (ISLA)
- Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2 (HDA 2)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Bantuan Ikut Lorong (LFA)
- Amaran Perhatian Pemandu (DAW)
- Bantuan Lampu Tinggi (HBA)
- Bantuan Elak Perlanggaran Titik Buta (BCA)
- Bantuan Elak Perlanggaran Lalu Lintas Silang (RCTA)
- Amaran Penumpang Belakang (ROA)
Beralih pada harga, Kia Carnival Baharu ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu;
- Meteor Grey
- Snowflake White Pearl
- Astra Blue
- Jet Black
Harga jualan bermula sekitar RM188,888 untuk varian 2.2D 11 tempat duduk, manakala versi 2.2D 7 tempat duduk ditawarkan pada harga permulaan RM248,888.
Setiap pembelian turut disertakan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, bergantung kepada yang mana tiba dahulu.
GALERI:



















