
MOTO MORINI CORSARO GT MASUK MALAYSIA AWAL 2027
Ketika Moto Morini X-Cape 1200 dilancarkan di Malaysia, motosikal adventure tersebut bingkas mencuri tumpuan ekoran dipasarkan dengan harga sekitar RM50k sahaja.
Terbaru, kami difahamkan Moto Morini bakal perkembangkan tawaran motosikal kembara kali ini menerusi Corsaro GT yang dijadualkan untuk masuk Malaysia awal 2027.

Berbeza dengan X-Cape 1200 dan X-Cape 700 yang menawarkan keupayaan off-road dan hadir dengan reka bentuk lasak, Corsaro GT pula dibangunkan sebagai sebuah crossover tourer, direka untuk mereka yang mahukan keselesaan ketika menempuh perjalanan jauh tanpa mengorbankan prestasi.
Atas kertas, Corsaro GT dikuasakan V-Twin 749cc 90-darjah yang berupaya menjana 96hp pada 9,500rpm dan 77Nm pada 7,500rpm.

Berbeza dengan X-Cape 1200, Corsaro GT hadir dengan tempat duduk yang lebih lebar, handlebar yang diposisikan lebih tinggi serta penghadang angin boleh laras bagi mengurangkan keletihan. Corsaro GT juga menggunakan kombinasi tayar bersaiz 17-inci depan dan belakang.
Motosikal ini turut dilengkapi skrin TFT berwarna bersaiz 7-inci lengkap dengan sambungan Bluetooth serta sistem navigasi terbina.

Sebagai kelengkapan standard, Corsaro GT turut dilengkapi dengan Cornering ABS selain sistem Blind Spot Monitoring, ciri yang masih jarang ditemui pada motosikal dalam kelas ini.
Pakej brek terdiri dari brek Brembo Stylema berkembar dihadapan yang dipadankan bersama cakera 320mm depan dan 255mm belakang. Suspensi pula boleh laras sepenuhnya secara manual.
GALERI: MOTO MORINI CORSARO GT




















