EICMA2024: MOTO MORINI ALLTRHIKE 450 DIPERKENAL- 44.2HP, 44NM
Moto Morini antara yang agresif di EICMA 2024 apabila membariskan beberapa model baharu bagi pasaran global tahun 2025.
Bagaimanapun, jenama dari Itali itu mencuri tumpuan kerana selain membariskan motosikal berkuasa tinggi, mereka turut menembusi segmen motosikal adventure 450cc menerusi Alltrhike 450.
Segmen motosikal ‘adventure’ 400-450cc merupakan segmen yang semakin mendapat perhatian ramai bermula dengan Royal Enfield Himalayan 450, KTM 390 Adventure dan CFMoto 450MT.
Atas kertas, Alltrhike 450 menampilkan gaya yang lebih retro berbanding pesaing lain dalam segmennya dengan gabungan dua lampu bulat di hadapan, fender tinggi serta panel tangki yang bersegi.
Bagaimanapun, Alltrhike 450 menawarkan kelengkapan moden dan terkini termasuk penghadang angin boleh laras, panel meter TFT dengan sistem navigasi, pengecas USB Type-A dan Type-C. Motosikal ini juga dilengkapi dengan ‘skid plate’ dan ‘center stand’ secara standard.
Sebagai pelengkap motosikal ‘adventure, model ini juga hadir dengan rim 21-inci depan dan dipadankan bersama fork KYB 42mm jenis terbalik dengan jarak gerak 200mm. Menariknya, sistem ABS boleh dipadamkan sekaligus memudahkan tunggangan off-road.
Dalam pada itu, Alltrhike 450 ini dipacu enjin parallel-twin 450cc serba baharu yang berupaya menjana 44.2hp dan 44Nm. Moto Morini juga mendedahkan bahawa Alltrhike 450 ini menawarkan ketinggian tempat duduk sekitar 847mm dan berat 170kg.
GALERI: MOTO MORINI ALLTHRIKE 450