
NEW YORK INTERNATIONAL AUTO SHOW BAKAL KEMBALI TAHUN HADAPAN – ADAKAH IA MASIH RELEVAN?
New York International Auto Show merupakan pameran auto yang pertama diadakan di Amerika Utara dan nampaknya ia juga bakal menjadi yang terakhir. Kenapa kami kata begitu? Tengoklah sendiri trend sekarang. Geneva Motor Show sudah tiada dan kebanyakan supercar dan hypercar sentiasa dilancarkan di acara seperti Monterey Car Week dan Goodwood Festival of Speed berbanding pameran auto biasa.

Tapi syukurlah untuk kita di Asia ni, trend pameran auto masih berkubur. Auto China masih gempak walaupun didominasi kenderaan buatan China. Pameran auto di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand pun masih meriah dengan pengunjung dan pengeluar. Sekurangnya kesemua pameran ini tidak menerima nasib seperti Geneva Motor Show.
Pameran seumpama ini sepatutnya lebih berfokuskan pengguna dan bukan semata-mata untuk menayangkan model terbaru. Menurut penganjur NYIAS, tahun lepas 52% pengunjung hadir untuk membuat pembelian kereta baharu, 70% lagi pula mahu mendapatkan info yang lebih lanjut tentang EV dan teknologi baharu dan 75% dari pengunjung pula mahu menyaksikan kenderaan baharu yang dipamerkan.

Acara pandu uji membantu memupuk minat 78% pengunjung kepada EV dan 36% daripada mereka merasai pengalaman EV untuk kali pertama. Kan menarik kalau ada aktiviti macam ni. Ramai yang nak rasa pengalaman dengan EV tapi tak tahu caranya. Ye la, kalau pergi showroom dan tak tunjuk niat nak beli silap-silap ada yang tak layan.
Pameran auto ni bukan sekadar tempat tayangan model baharu dan pusat jualan semata-mata. Bak kata Jose Munoz, Presiden Hyundai Motor Company merangkap COO. “Kami sukakan auto show dan tiada tempat lain sebaik auto show untuk kami lihat sendiri reaksi orang ramai terhadap produk kami”.