" "
Motosikal

TERKINI: CFMOTO 675SR-R LANCAR DI MALAYSIA NOVEMBER INI

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa CFMoto 675SR-R akan turut memasuki pasaran Malaysia pada satu tarikh yang akan diberi tahu kelak selepas motosikal itu dengan rasminya debut di pasaran Amerika Syarikat bulan lalu. 

Berdasarkan sumber terbaru yang diperolehi, kami diberitahu bahawa 675SR-R itu akan dilancarkan di Malaysia seawal November tahun ini ketika di MotoGP Malaysia bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). 

GP Malaysia dilihat sebagai platform paling tepat bagi melancarkan motosikal tiga silinder itu ekoran CFMOTO sedang bersaing di Kejuaraan Dunia Moto3 dan turut mendahului kejuaraan menerusi David Alonso. 

Atas kertas, 675SR dikuasakan enjin tiga silinder 674cc 12-valve dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 95hp pada 11,000rpm dan 70Nm pada 8,250rpm. Sekadar perbandingan, Triumph Daytona 675 yang turut dikuasakan enjin tiga silinder 675cc menghasilkan 126hp pada 12,600rpm dan 73Nm pada 11,750rpm. 

Bagaimanapun, 675SR tampil lebih moden dan aerodinamik termasuk dengan kehadiran  pencahayaan LED penuh, winglet serta ‘brake scoop’ yang membantu menyejukan cakera brek dengan lebih efisien. 

Selain itu, model baharu ini turut dilengkapi dengan sistem quickshifter (upshift sahaja), traction control (dua peringkat) dan ABS dari Bosch secara standard. 

Sementara itu, ketika motosikal segmen 600cc rata-rata dipadankan dengan tayar depan berukuran 120, 675SR pula dilengkapi dengan tayar 110/70-17. Namun, kami jangkakan pemasangan tayar bersaiz 120 boleh dilakukan untuk tujuan ‘track day’ kerana 675SR ini dilengkapi dengan ‘lap timer’. 

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:

  • fork depan USD dari KYB boleh laras
  • penyerap hentak tunggal dari KYB boleh laras
  • kaliper brek depan 4-pot J.Juan dengan cakera 300mm
  • kaliper brek belakang 1-pot J.Juan dengan cakera 240mm
  • ABS 
  • tangki bahan api 15L
  • tayar CST Ride Migra
  • berat 185kg

Bagi pasaran Amerika Syarikat, CFMoto 675SR ini dijual dengan harga USD7,999 (RM34.7k). 

Google ads
Back to top button