Artikel Pilihan

NISSAN INTELLIGENT MOBILITY – TEKNOLOGI PINTAR NISSAN DENGAN CGPA 4.0

Sebenarnya sudah lama penulis menunggu untuk memandu uji Nissan X-Trail hybrid yang dilancarkan pada bulan April 2019 yang lalu. Disebabkan senarai menunggu yang panjang, maka pada minggu ini barulah pihak Nissan memberi peluang pada penulis untuk memandu X-Trail hybrid ini. Ada perkara yang membuatkan penulis teringin untuk memandu uji unit SUV Hibrid ini iaitu sistem Hybrid sendiri dan juga fitur Nissan Intelligent Mobility.

Nissan Intelligent Mobility merupakan satu pakej fitur keselamatan yang membentuk satu jaringan keselamatan aktif pada kereta serta membantu dari segi keselesaan pemanduan. Ia merangkumi beberapa fitur yang pada ketika dahuku hanya ditawarkan pada kereta mewah dan jenama premium sahaja. Bagi kami, usaha Nissan untuk memperkenalkan sistem ini pada model X-Trail walaupun hanya terhad pada varian tertentu sahaja wajar dipuji kerana ia menjadikan pemanduan lebih selamat dan juga selesa.

Sistem ini bergantung pada beberapa perkakasan baru yang dipasang pada sekitar X-Trail seperti :

1. unit radar yang dipasang di belakang logo Nissan di bahagian depan kereta

2. Unit kamera yang dipasang pada bahagian atas cermin depan

3. 2 Unit radar yang dipasang bahagian bampar belakang, kiri dan juga kanan.

4. 4 Unit Kamera 360 darjah yang dipasang sekeliling kereta

Jadi dengan bantuan radar dan kamera yang dipasang sekeliling X-Trail ini bertindak sebagai mata dan deria rasa tambahan untuk pemandu agar sistem berupaya mengesan keadaan dan risiko di sekeliling kereta. Jadi mari kita intai beberapa fungsi utama yang menjadikan X-Trail ini kenderaan pintar.

1. Intelligent Forward Collision Warning dan Intelligent Forward Emergency Braking – merupakan satu fungsi pintar yang turut dikenali dengan nama Brek Kecemasan Automatik. Dengan menggunakan sistem radar dan pengesan yang dipasang di belakang logo NISSAN, ia mengesan sebarang halangan dan juga kenderaan. Sistem amaran akan dipaparkan pada panel meter diikuti dengan bunyi amaran jika ia mengesan kemungkinan tinggi untuk berlaku kemalangan.

Kalau pemandu masih lagi leka menggunakan telefon (ok salahkan Facebook) sistem akan membrek kecemasan secara automatik. Pada halaju rendah seperti laluan di bandar, ia akan mengelakkan berlakunya kemalangan. Namun pada halaju tinggi, ia akan mengurangkan kerosakan pada kenderaan.

2. Sistem Pelayaran (Pemanduan) Pintar / Intelligent Auto Cruise- bagi penulis jika kereta tersebut berharga RM 120,000 dan ke atas ia wajib memiliki fitur ini. Harga kereta yang mahal perlu diringi dengan sistem pemanduan bijak yang mengurangkan beban dan tugas memandu. Sama seperti dengan sistem autocruise biasa, pemandu hanya perlu mengaktifkan fitur ini pada halaju tertentu seperti 110km/j.

Apabila diaktifkan, radar yang sama akan memantau kereta dan halangan di depan kereta ketika bergerak. Jika kenderaan di hadapan bergerak kurang dari 110km/j, maka sistem akan mengarahkan brek diaktifkan dan halaju kereta akan sama dengan kereta hadapan. Jika kenderaan di depan beralih ke lorong kiri, X-Trail akan mula memecut ke depan dengan halaju 110km/j semula. Namun pemandu boleh mengambil alih pedal minyak seketika bagi memecut. Lepaskan saja pedal minyak dan kereta akan bergerak pada halaju 110km/j semula.

Malah ia boleh berhenti jika kenderaan di depan berhenti dan menyambung semula perjalanan secara automatik. Memang seronok macam ada pembantu pemandu sendiri.

3. Lane Departure Warning – merupakan sistem amaran yang akan mengingatkan pemandu jika mereka tersasar atau terkeluar dari lorong pemanduan. Kamera yang dipasang pada cermin depan akan mengesan garisan putih jalanraya dan memastikan pemandu memandu di dalam lorong yang ditetapkan sahaja. Jika pemandu beralih ke lorong lain tanpa memberi isyarat menukar lorong, maka sistem amaran akan dibunyikan

Sekurang-kurangnya ia mengingatkan pemandu tentang kewujudan lampu isyarat kerana kebanyakan pemandu Malaysia mengalami kegatalan tangan yang serius apabila menggunakannya

4. Sistem Amaran Titik Buta – dengan menggunakan suapan isyarat dari radar yang dipasang pada bampar belakang, sistem ini akan memberi isyarat visual pada LED yang dipasang di tepi cermin pandang. Jika pemandu memberi isyarat menukar lorong ketika ini, amaran audio akan dikeluarkan menggunakan pembesar suara agar pemandu sedar akan kewujudan kereta atau Y-Suku yang mencelah atau menghampiri dari sisi belakang.

Malah sistem ini juga memberikan isyarat amaran ketika X-Trail memotong kenderaan lain yang lebih perlahan.

5. Rear Cross Traffic Alert / Amaran Trafik Lintasan Belakang – merupakan sebahagian daripada Sistem Amaran Titik Buta kerana ia menggunakan sistem radar yang sama. Tapi kali ini ia memberikan amaran pada pemandu jika terdapat kenderaan lain menghampiri ketika kereta diundur keluar dari kotak parkir. Tak adalah kepala terteleng ke kiri dan kanan ketika keluar dari parkir.

6. Intelligent Around View Monitor – merupakan versi kamera 360 darjah daripada Nissan. Dengan menerima isyarat visual daripada semua kamera (depan, belakang, kiri dan kanan) ia akan memberikan maklumat pada pemandu bagi memudahkan proses memarkir di ruang yang sempit dan memarkir sisi.

Ada 4 paparan yang akan diberikan pada pemandu secara serentak. Namun yang membezakan teknologi ini berbanding dengan pesaingya yang lain, ia akan memberikan tumpuan pada paparan yang ada objek bergerak dikesan. Anak-anak kecil, kucing ataupun motor kapcai akan dikesan oleh kamera ini kecuali insan yang membantah projek Lynas suatu ketika dahulu.

7. High Beam Assist – ketika memandu X-Trail ini pada waktu malam penulis terperasan limpahan cahaya lampu sentiasa terang ketika melalui kawasan gelap dan merendahkan semula lampu hadapan ketika ia mengesan kehadiran kereta lain. Apabila suis lampu ditetapkan pada kedudukan auto, sistem akan mengambil alih tugas merendahkan lampu atau menggunakan lampu tinggi bergantung pada keadaan.

Malah dalam keadaan auto, sistem akan memasang lampu atau mematikan lampu mengikut keadaan persekitaran. Persekitaran yang gelap akan membuatkan sistem membuka lampu secara automatik. Lampu tinggi akan dibuka secara automatik jika tiada kenderaan lain yang berhampiran samada dari arah bertentangan atau arah yang sama dikesan. Dah kurang satu tugas pemandu dan pemandu boleh memandu dengan tenang.

Fungsi High Beam Assist ini dilakukan dengan bantuan kamera yang dipasang pada cermin hadapan X-Trail.

Buat masa sekarang teknologi ini hanya digunakan pada Nissan X-Trail 2.0 Hybrid dan juga X-Trail 2.5 4WD sahaja. Manakala Nissan X-Trail 2WD Mid hanya memiliki ciri Lane Departure Warning, Sistem Amaran Titik Buta, dan Amaran Trafik Lintasan Belakang sahaja. Dengan harga RM 153,888 bagi varian 2.5 4WD dan RM 159,888 bagi varian hibrid, pada pendapat penulis X-Trail ini menawarkan ciri keselamatan yang cemerlang pada harga yang ditawarkan. Adakah anda bersetuju?

Tags
Google ads
Back to top button