Motosikal

YSUKU BUDAK GRAB FOOD NYARIS DISAMUN DI PHILEO DAMANSARA 2

Sejak petang semalam, tular satu klip video yang menunjukkan seorang penunggang Grab Food cuba disamun oleh dua orang lelaki di Phileo Damansara 2, Petaling Jaya.

Klip video berdurasi 1 minit 29 saat bermula dengan sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri penunggang Grab Food yang memarkir motosikalnya.

Secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka turun dan membelakangi mangsa sebelum memukul bahagian belakang kepala menggunakan kunci fork.

Suspek mendakwa motosikal itu ialah motosikal curi dan mahu mengambilnya semula. Mangsa, Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudiin, 22, menunggang Yamaha Y15ZR sebenarnya sedang bekerja dan dalam perjalanan dari One Utama.

Memetik laporan Astro Awani, kedua-dua orang suspek menaiki sebuah Yamaha 125Z.

Salah seorang daripada suspek kemudian cuba untuk melarikan motosikal tersebut. Namun, Amirul enggan mengalah dan berlari sebelum menendang suspek, seterusnya  menyebabkan suspek terjatuh.

Dia kemudian bergelut dengan kedua-dua suspek sebelum mereka melarikan diri.

Apa yang mengejutkan, beberapa buah kenderaan yang lalu di lokasi kejadian seperti tidak mengendahkan situasi bahaya tersebut. Mereka dilihat memandu seperti biasa seperti tiada apa yang berlaku.

Polis kini sedang giat memburu suspek. Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Sama-samalah kita berdoa mereka cepat ditangkap polis. Amin…

sumber: Astro Awani  / FB Info Roadblock JPJ/Polis

Google ads
Back to top button