Buletin

PAMPASAN CEO PENGELUAR KERETA NAIK HAMPIR 80% PADA 2021

Pasaran saham yang kukuh pada tahun 2021 menjadikan ketua pegawai eksekutif (CEO) pembuat kereta memperoleh gaji lebih banyak pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya. Tidak mengejutkan jika Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk adalah penerima habuan terbesar tahun lepas.

Menurut kajian Automotive News, Musk memperoleh AS$23.5 bilion (RM105 bilion) pada 2021, sekali gus menjadikannya sebagai CEO berpendapatan paling tinggi dalam kalangan syarikat pengeluar kenderaan yang saham mereka didagangkan di AS.

“Pada tahun 2021, ekonomi dan pasaran saham berjalan dengan baik. Ini mencerminkan keuntungan seperti yang dilihat oleh eksekutif tahun lalu.

“Dalam kes Elon Musk, jika anda memutuskan untuk menggunakan pilihan saham, dengan nilai lebih RM105 bilion ($23 bilion), ia pasti tahun yang baik untuk orang yang memiliki ekuiti,” kata Pengarah Penyelidikan di Equilar, Courtney Yu.

Musk satu-satunya CEO yang gajinya meningkat tahun lepas. Merentasi semua pembuat kereta, pampasan CEO meningkat sebanyak 78 peratus pada 2021 dan median untuk semua CEO ialah AS$12.3 juta (RM55 juta), meningkat daripada 2020 iaitu $6.9 juta (RM31 juta). Bagi CEO yang telah berada di posisi mereka selama sekurang-kurangnya dua tahun, pampasan median meningkat sebanyak 90 peratus.

Mary Barra, CEO pembuat kereta ketiga tertinggi dalam senarai itu, memperoleh $62 juta (RM277 juta) pada 2021, meningkat daripada AS$40 juta (RM179 juta) setahun sebelumnya. Sementara itu, Peter Rawlinson yang menjadi CEO Lucid sejak 2019 memperoleh pampasan sebanyak AS$67 juta (RM299 juta).

Kajian itu juga melihat kepada pembekal, di mana pampasan meningkat lebih daripada dua kali ganda setahun kerana mereka perlu menyelesaikan masalah kekurangan alat ganti.

Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia menerima pampasan berjumlah $560.9 juta (RM2.5 bilion) tahun lalu yang kebanyakan melibatkan pegangan saham.

Syarikat dalam sektor mobiliti dan teknologi, seperti Uber dan Lyft menjadi satu-satunya syarikat dalam industri yang pampasan CEO mereka menurun pada 2021.

Google ads
Back to top button