PANDU UJI: TOYOTA COROLLA CROSS 1.8G, IDENTITI YANG KELIRU
Kami masih berpendapat bahawa terma yang patut digunakan bagi sebuah kenderaan lasak yang dibina dari cesi monocoque & berasaskan sedan patut dipanggil sebagai crossover, bukannya SUV. Sebab itu kami sangat bersetuju apabila Toyota menamakan crossover yang berasaskan cesi Corolla ini sebagai Corolla Cross.
Salah satu sebabnya tanda nama Corolla ini sebenarnya sangat bernilai dalam pasaran manakala Cross pula menunjukkan kedudukan segmen kenderaan ini. Corolla sebuah sedan segmen C, jadi secara automatiknya kita akan bayangkan bahawa ia akan bersaing dengan Honda CR-V iaitu crossover yang dibina dengan cesi Honda Civic
Tapi dari segi dimensi luaran, Corolla Cross sebenarnya lebih kecil berbanding dengan Honda CR-V walaupun harganya yang murah. Sebagai contoh varian 1.8G yang terendah ini ditawarkan pada harga RM 123,000 sahaja berbanding dengan Honda CR-V RM 140,000. Tapi kalau kita bandingkan Corolla Cross dengan CR-V sebelah menyebelah, maka Honda CR-V akan menang dengan banyak kelebihan
Sebab itulah bila Corolla Cross keluar, ia mensasarkan Honda HR-V yang dibina dari platform Honda City sebagai saingan utama. Agak pelik juga kerana saiz Corolla Cross ini dengan panjang 4460mm, lebar 1825mm, tinggi 1620mm dan jarak antara roda 2640mm ini lebih kecil dari Honda CR-V tapi lebih besar dari Honda HR-V.
Tapi HR-V memiliki kelebihan dari segi harga yang lebih murah, bermula dari RM 104,000 bagi varian termurah. Dari segi saiz Corolla Cross adalah hampir sama dengan Mazda CX-30, sebuah lagi crossover yang keliru, berada di antara Mazda CX-3 dan CX-5. Corolla Cross dibina dengan menggunakan platform TNGA-C, platform yang sama digunakan oleh Toyota Corolla Sedan tapi jarak antara roda 2700mm
Jarak antara roda Corolla Cross hanyalah 2640mm, 60mm lebih pendek berbanding dengan Corolla Sedan. Tekaan kami ialah, bagi menghasilkan rekaan yang proportion (seimbang) dibahagian depan dan belakang, maka panjang platform ini terpaksa diubah. Apabila platform dipendekkan, maka ruang kabin akan menjadi lebih kecil.
Sekiranya Corolla Cross menggunakan suspensi double wishbone di bahagian belakang, maka ruang kargo belakang dan penumpang belakang menjadi sempit macam Toyota CH-R. Maka lebih afdhol untuk menggunakan torsion beam di bahagian roda belakang bagi memberikan ruang kargo sebesar 440 liter dan ruang penumpang yang baik. Ia adalah keputusan strategik, bukannya kedekut.
Sebagai perbandingan, ruang kargo Corolla Sedan adalah sebesar 470 liter dan menggunakan suspensi double wishbone. Oh ya untuk buatkan anda lagi keliru, harga Corolla Cross lebih murah daripada Corolla Sedan 1.8E yang dijual pada harga RM 128,888. Terbalik kan, biasanya harga sedan lagi murah berbanding dengan crossover. Ini kerana Cross dihasilkan di Malaysia, Sedan diimport dari Thailand.
Hanya 1 enjin sahaja ditawarkan bagi Corolla Cross, unit 2ZR-FE dual VVTi 1800cc yang menghasilkan 138 kuasa kuda dan 173Nm tork. Tiada apa pun yang perlu dibangga dengan enjin ini. Di atas kertas “brochure” ia akan kalah kepada enjin R18A Honda, kalah kepada enjin 1.8 turbo X70, kalah kepada enjin 1.5 Turbo X50 dan apatah lagi pada enjin 1.5 VTEC turbo untuk HR-V baru nanti
Seperti biasa enjin ini akan digandingkan dengan transmisi CVT dengan pilihan Shiftronic 7 kelajuan. Serius 2 kali kalah atas kertas. Tambahan pula Corolla Cross ini beratnya hampir 40kg lebih berat berbanding Corolla Sedan. Enjin ini hanya 1 kuasa kuda lebih kuat berbanding enjin Corolla Sedan. Boleh ke enjin ni tarik Corolla Cross?
Pilihan enjin yang lebih bagus sebenarnya enjin M20A FKS Dynamic Force yang baru, tapi enjin ini akan menjadikan Corolla Cross lebih mahal. Tapi sebaik sahaja pedal minyak ditekan, Corolla Cross meluncur dengan bersahaja. Rasa ringan betul enjin dan CVT in bekerja, cukup responsif bagaikan enjin 2.0. Penulis langsung tiada komplen dengan prestasi enjin dinosour ini.
Pada kelajuan 110km/j, bacaan meter RPM ialah sekitar 1900-2000 sahaja. Ia meningkat naik pada 2100 pada 120km/jam dan 2300 pada 130km/jam. Walaupun teknologi enjin ini berasal dari zaman dinosour mulai pupus, enjin ini sungguh senyap. Melainkan anda perah enjin ini pada julat 5000 RPM dan ke atas. Bacaan penggunaan petrol pula sekitar 15.4km per liter.
Sangat ok untuk sebuah kereta baru kurang dengan odometer baru mencecah 400km. Setangki penuh 47 liter membolehkan Corolla Cross dipandu sejauh 550km. Enjin ini tak banyak ragam dan senang dijaga, mana mana perempuan yang pandai pegang spanar boleh menukar minyak enjin. Pomen bawah pokok mempelam pun pandai membaikinya kalau ada kerosakan
Rekaan ruang dalaman Corolla Cross pula memang tak lawa dan konvensional. Kalau masuk pertandingan ratu cantik, Corolla Cross akan balik awal. “Presentation” dalaman dia tak kan buat orang muda suka, tak nampak hipster. Tak nampak moden dan hanya untuk golongan pencen
Tapi jika diperhatikan dengan lebih dekat pada ruang dengan cermin sisi anda akan dapati titik buta (blind spots) adalah minima. Tiang A diangkat ke atas dan ditolak ke depan menjadikan kita lebih mudah melihat ke depan
Jika anda duduk di kusyen pemandu pula, anda akan lihat bonggol di atas penutup enjin atau hump menandakan kedudukan tayar depan. Jadi kita tahu kedudukan tayar dan memudahkan kita membuat pembetulan stering apabila nak masuk ke selekoh
Visibility atau kebolehlihatan untuk cermin depan juga bagus, sampai tak nampak kedudukan pengelap cermin depan disorok. Rekaan papan pemuka depan pula dibuat ala-ala Avanza, sangat ringkas kalau dibandingkan dengan model lain tanpa banyak childpart. Tapi rasanya lepas 10 tahun kami pasti tak akan ada bunyi dari papan pemuka balutan kulit softouch ini.
Dalam aspek dinamik pemanduan, cesi TNGA-C ini sangat bagus. Ia stabil di laluan lurus membolehkan penulis mengekalkan halaju 140km/j dengan hanya sebelah tangan sahaja. Tapi pada masa yang sama respon stering dia sangat cepat, tak sama dengan model Toyota yang lama. Menghasilkan karekter pemanduan yang stabil di laluan lurus dan lincah di selekoh sebenarnya agak susah.
Hanya Proton sahaja yang mahir dalam aspek ini, tapi Corolla Cross membuktikan ia juga mampu menjadi sebuah kereta yang seronok dipandu walaupun hanya menggunakan torsion beam di bahagian belakang. Ruang kabin tidak banyak aksesori untuk anda melainkan 2 poin mengecas (jenis C) di bahagian belakang, kusyen balutan kulit, perehat tangan depan dan belakang, corong penyaman udara belakang, dan sambungan Apple Car Play / Android Auto dan 6 pembesar suara
Pemandu pula menerima kusyen bantuan kuasa, stering dengan ciri teleskopik, & sistem pemanduan Autocruise pasif. Walaupun hanya varian termurah, Corolla Cross 1.8G tetap menerima lampu depan Bi-LED, lampu kabus LED, lampu belakang curtain LED, lampu kabus belakang, pintu belakang dengan ciri Power Tailgate dan rel bumbung yang mampu menahan beban sehingga 70kg
Jangan terkejut kerana semua varian Corolla Cross masih lagi menggunakan parkir brek yang perlu ditekan dengan kaki walaupun pesaingnya sudah mula menggunakan brek parkir elektrik. Sekurang -kurangnya ia tidak rosak disebabkan masalah remeh temeh dan boleh bertahan lama. Cuba fikir positif sikit la kan.
Tapi di sebalik semua kekurangan ini pemanduan Corolla Cross amat selesa, tenang dan mendamaikan. Ia masih boleh dipandu laju dengan tenang tapi enjin perlu diperah sedikit. Ia masih boleh mengambil selekoh dengan bersemangat, sambil dibantu dengan ciri penukaran gear shiftronic. Torsion beam yang dibekalkan datang dengan bar anti oleng.
Malah cesi TNGA ini ditambat dengan 2 pendakap besi di bahagian tengah dan depan cesi bagi menaikkan nilai ketegarannya. Ia tidak mudah membuai ataupun berayun jika dipandu laju. Namun jika dipandu pada halaju 100km/jam maka kadar bunyi bising hanyalah sekitar 56 dB sahaja, meningkat kepada 60 dB pada 110km/j dan menjadi 64 dB pada 120km/jam.
Gegaran daripada enjin, unit CVT dan sistem suspensi adalah sangat minima. Bunyi angin dari luar ditapis dengan penggunaan cermin depan acoustic. Walaupun dipasang dengan penebat bunyi di bahagian bawah wheel arch, bunyi tayar kadangkala masuk juga terutama bila melalui permukaan jalan tida rata. Ruang dalamannya terasa luas sama seperti Corolla Sedan walaupun lebih pendek
Dalam aspek keselamatan, Corolla Cross 1.8G hanya menerima sensor parkir depan, 4 brek cakera, sensor parkir belakang, kamera 360 darjah, sistem amaran titik buta, amaran lintasan belakang, 7 beg udara, ESC, Hill Start Assist, sistem tekanan angin tayar, 2 poin ISOFIX, perakam video digital TAPI tanpa sistem Toyota Safety Sense. Munasabah la sebab harganya pun baru RM 123,000 sahaja
Tambah lagi RM 6000 dan anda akan dapat varian V yang datang dengan Toyota Safety Sense. Tapi kalau dibandingkan dengan Proton X70, Honda HR-V dan Proton X50 maka kita akan terasa mahal pula Corolla Cross ini sedangkan enjinnya kurang berkuasa, transmisi CVT sahaja, dan tiada sistem ADAS. Tapi sebenarnya duit anda pergi kepada platform TNGA yang lebih canggih.
Serius kalau dari segi rupa dan rekaan dalaman Corolla Cross memang nampak biasa sahaja, mungkin nampak mewah sikit dari Ativa. Tapi sebaik sahaja ia bergerak, Corolla Cross terasa mahal dengan pergerakan cesi yang minima, kabin yang luas, selesa senyap, enjin yang menjimatkan serta boleh diharap, serta kalis rosak. Bukankah ini yang kita mahukan dari sebuah kenderaan yang dipandu setiap hari?