Buletin

28,000 WANITA MOHON KERJA SEBAGAI PEMANDU KERETA API HUBUNGKAN MEKAH-MADINAH 

Sebuah syarikat pengangkutan kereta api di Arab Saudi menerima 28,000 permohonan bagi mengisi kekosongan jawatan pemandu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Syarikat dari Sepanyol berkenaan, Renfe berkata, pihaknya hanya akan merekrut 30 pemandu wanita yang terpilih daripada jumlah berkenaan.

Calon-calon yang layak akan memandu kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Mekah dan Madinah selepas menjalani latihan selama setahun.

Pengumuman tersebut menjadikan jawatan seumpama itu kali pertama diiklankan untuk kaum wanita di Arab Saudi.  Selama berpuluh-puluh tahun, Arab Saudi dikenali sebagai salah satu negara yang mempunyai kadar penyertaan wanita paling rendah dalam sektor pekerjaaan.

Namun, dalam beberapa tahun lepas, kerajaan membuat keputusan untuk meningkatkan jumlah pekerja wanita sebagai sebahagian daripada pelan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mempelbagaikan ekonomi bukan berasaskan minyak.

Ekoran perubahan-perubahan tersebut, penyertaan wanita dalam pekerjaan meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu kepada 33 peratus. – AGENSI 

Google ads
Back to top button