
PASANG BALIK EKZOS STANDARD SEBELUM TUNTUT MOTOSIKAL DISITA
Pemilik motosikal yang mengubah suai ekzos hingga mengeluarkan bunyi bising melebihi kadar ditetapkan perlu menukar ekzos standard terlebih dahulu sebelum menuntut jentera mereka.
Tindakan itu dibuat menerusi Ops Khas Kesalahan Bunyi Bising yang diketuai Pegawai Turus Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Asisten Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Alam Sekitar sejak 1 Mac lalu.
Ketua JSPT Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, dalam tempoh lima hari pelaksanaan ops berkenaan sebanyak 19 motosikal disita dan 679 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalulintas.

Jelas beliau, ops khas berkenaan diadakan di 21 lokasi yang telah dikenalpasti di seluruh negeri terbabit bagi mengesan kesalahan ekzos bising.
Antara lokasinya termasuk Jalan Batu Sinar, Jalan Pekan Lumut, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Taiping serta Jalan Ipoh-Butterworth.
“Berdasarkan operasi terbabit, kita dapati kebanyakan individu yang dikesan melakukan kesalahan ini terdiri daripada golongan berusia 16 hingga 40 tahun.
“Selain itu, kita juga menetapkan setiap pemilik kenderaan yang disita atas kesalahan ubah suai ekzos perlu memasang semula ekzos asal jika mahu menuntut semula kenderaan tersebut,” katanya.

Zakaria menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik motosikal yang mengubah suai ekzos bising.
Operasi Khas Kesalahan Bunyi Bising dilakukan serentak seluruh negeri bermula 1 sehingga 14 Mac ini. – MalaysiaGazette/FB JSPT Perak
- BACA: SAMAN SEBAB PLAT FANCY. BUKAN EKZOS BISING MACAM VIRAL DI SOCMED
- BACA: EKZOS BISING? ANDA BOLEH DIDENDA RM2,000 ATAU PENJARA TIDAK LEBIH 6 BULAN
- BACA: BUNYI EKZOS BISING SANGAT, MYVI DITEMBAK DENGAN SENAPANG ANGIN
- BACA: BAHAN PENGUBAH BERMANGKIN SISTEM EKZOS UMPAMA ‘LOMBONG EMAS’ TERSEMBUNYI. NILAI 12 KALI GANDA EMAS!!!








