
BUKIT AMAN CADANG HARAMKAN JUALAN EKZOS PERANG
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mencadangkan agar jualan alat ganti modifikasi motosikal termasuk ekzos perlu diharamkan di Malaysia.
Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Shuhaily berpendapat komponen dan alat ganti modifikasi hanya menyumbang kepada aktiviti lumba haram.
“Ahli-ahli politik perlu mempunyai iltizam dalam memastikan kejayaannya (dari segi penggubalan undang).
“Sebagai YB (Yang Berhormat), saya mohon ini harus berhenti. Kita kehilangan anak muda pada usia yang tidak sepatutnya atas sebab-sebab tidak sepatutnya.
“Motosikal tidak boleh dimodifikasi. Paip bising jangan dijual lagi, namun itu semua hanya boleh dilakukan dengan keputusan ahli-ahli politik yang membuat undang-undang,”ujarnya.
Mohd Shuhaily juga berasakan walaupun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memerangi mat rempit hampir 40 tahun tetapi berasakan semakin terkebelakang dari segi penguatkuasaan undang-undang.
“Kita makin lama makin terbelakang dalam menguatkuasakan undang-undang, kalau dulu, kita akan tahan semasa ‘racing’ (berlumba), lama-lama dia langgar saya, dua-duanya mati,” tambahnya. – Sinar Harian