Buletin

BUNYI EKZOS BISING SANGAT, MYVI DITEMBAK DENGAN SENAPANG ANGIN

Gara-gara mengeluarkan bunyi ekzos yang bising, sebuah Perodua Myvi ditembak menggunakan senapang angin.

Insiden pada jam 3.15 petang berkenaan dilaporkan berlaku di Taman Ulu Choh, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Kejadian itu berlaku kerana suspek dikatakan hilang sabar dengan tindakan penghuni sebuah rumah di sekitar kediamannya yang kerap menguji bunyi ekzos Perodua Myvi hingga mengganggu jiran lain.

Tangkapan dibuat selepas menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 21 tahun yang memandu di kawasan Taman Ulu Choh menghala ke jalan keluar di Jalan Senduduk. Mangsa menyedari keretanya terkena sesuatu yang disyaki tembakan dari arah rumah lelaki terbabit.

Tembakan itu menyebabkan pintu belakang sebelah kanan berbekas umpama kesan tembakan.

Berikutan itu, pasukan polis telah menahan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun. Pemeriksaan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis yang menyerbu rumah suspek pada jam 5.30 petang hari yang sama berjaya merampas satu laras senapang tiruan pendek, selaras senapang tiruan panjang serta tiga biji guli di bawah bawah almari di dapur. Turut dirampas sehelai seluar pendek hitam sebagai bahan bukti.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar memberitahu, siasatan awal polis mendapati senapang itu dibuat sendiri oleh suspek selepas belajar daripada YouTube.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960. – Harian Metro

Google ads
Back to top button