PELANTIKAN BAHARU DI PROTON
Proton Holdings Berhad (Proton) semalam mengumumkan tiga pelantikan baharu untuk pengurusannya dan Proton Edar Sdn Bhd (PESB).
Andreas Prinz yang menyertai Proton sejak Julai 2014 sebagai Pengarah Jualan Antarabangsa kini dilantik menjadi Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton. Prinz memiliki pengalaman selama 29 tahun dalam pelbagai syarikat multinasional di seluruh dunia.
Beliau turut memiliki pengalaman dalam industri automotif selama 15 tahun serta pernah berkhidmat dengan Volkswagen dan Bentley Motors. Antara pencapaian pentingnya ialah terlibat dalam penubuhan National Sales Company, di samping membina rangkaian pengedaran untuk Volkswagen Group di negara-negara Asia Barat, India dan Malaysia.
Norzahid Mohd Zahudi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PESB bermula 1 Oktober 2014. Beliau telah berkhidmat 32 tahun dalam pelbagai industri penting seperti perundingan, kewangan dan automotif. Justeru, Norzahid dilihat cukup berpengalaman dalam bidang perancangan strategik, pembinaan jenama dan pengurusan pemasaran
Beliau juga memiliki pengalaman selama 21 tahun dalam industri automotif apabila bertanggungjawab menguruskan aspek rangkaian pengedaran pelbagai jenama antarabangsa dan tempatan.
Daniel Tan Soo Liang pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi PESB. Daniel mempunyai pengalaman selama 26 tahun, merangkumi pelbagai bidang termasuklah 10 tahun dalam jualan automotif. Sepanjang terlibat dalam industri automotif, beliau bertanggungjawab memantau jualan kenderaan Volkswagen di pasaran ASEAN dan China.