
PROTON PAMER TEKNOLOGI HEV DI KLIMS 2026, FOKUS MOBILTI PINTAR
PROTON menggunakan pentas Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 untuk memperkenalkan hala tuju teknologi masa depannya menerusi tema “PROTON AHEAD: Intelligence That Connects People”, yang memberi penekanan kepada pembangunan mobiliti lebih pintar, selamat dan saling berhubung untuk pengguna di Malaysia.
Tarikan utama di ruang pameran PROTON kali ini ialah teknologi Hybrid Electric Vehicle (HEV) yang dibangunkan untuk menawarkan pengalaman pemanduan lebih lancar dan cekap, terutama dalam keadaan trafik bandar. Sistem tersebut menggabungkan Dedicated Hybrid Engine (DHE) bersama Dedicated Hybrid Transmission (DHT) bagi mengoptimumkan penggunaan kuasa serta penjimatan bahan api.
Teknologi itu turut menawarkan mod pemanduan pintar yang mampu bertukar secara automatik antara EV Mode, Series Mode, Parallel Mode dan Direct Drive (ICE Mode) mengikut kelajuan kenderaan, permintaan kuasa serta tahap cas bateri. Ini membolehkan sistem memilih konfigurasi paling sesuai tanpa campur tangan pemandu.

Enjin hibrid 1.5 liter yang digunakan menghasilkan 82 kW (110 PS) dan 136 Nm tork, selain mempunyai nisbah mampatan tinggi 14:1 dan boleh menggunakan petrol RON95. Menurut PROTON, enjin ini direka untuk mencapai kecekapan terma sehingga 46.5 peratus, dibantu teknologi seperti pembakaran Atkinson-cycle, sistem water-cooled EGR dan pam air elektrik pintar bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta emisi.
Sistem transmisi pula menggunakan konfigurasi dua motor elektrik, iaitu motor P1 yang membantu menghidupkan enjin dan menjana tenaga, manakala motor P3 bertindak sebagai motor pemanduan utama serta memulihkan tenaga ketika nyahpecutan. Keseluruhan sistem dikawal oleh Power Control Module (PCM) untuk memastikan pengurusan kuasa yang lebih responsif dan cekap.
Selain teknologi HEV, PROTON turut mempamerkan pelbagai inovasi lain menerusi PROTON Intelligent Mobility Zone, termasuk sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), enjin i-GT, Electrical & Electronic Architecture (EEA), PROTON Modular Vehicle Cockpit Concept dan PROTON IHU Smart Cockpit. Kesemua teknologi ini menunjukkan komitmen syarikat dalam memperkukuh aspek keselamatan, seni bina elektronik serta pengalaman ketersambungan di dalam kenderaan.

Di samping pameran teknologi, pengunjung juga boleh melihat barisan model semasa seperti Saga, S70, X50, X70 Sport Edition dan X90, selain sebuah Proton X50 yang diubah suai dengan penampilan lebih sporty. Model terpilih turut disediakan untuk sesi pandu uji, manakala pelanggan yang membuat tempahan sepanjang KLIMS 2026 akan menikmati pelbagai tawaran eksklusif yang disediakan oleh PROTON.









