
PEMBANTU TADBIR PTPTN MAUT DIHEMPAP KERETA KETIKA TUKAR MINYAK HITAM
“Alhamdulillah, selesai,” itu kandungan mesej terakhir arwah Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 30, yang dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp keluarganya pada pagi semalam.
Kandungan mesej itu dikirimkan Mohammad Azim sejurus selesai menghadiri satu temu duga kerja sebagai Pegawai Belia dan Sukan.
Arwah yang juga pembantu tadbir di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) maut selepas dihempap keretanya sendiri ketika sedang menukar minyak hitam di kuarters penjawat awam di Presint 5 pagi semalam.
Bapa Mohammad Azim, Sanusi Sujak, 69, berkata, sebelum kejadian, arwah mengirim mesej menerusi WhatsApp dan memaklumkan sudah selesai menghadiri sesi temu duga selain turut menghantar sekeping gambar.
“Arwah pernah menghadiri beberapa sesi temu duga sebelum ini, namun kali ini dia berasa sangat yakin dan berharap untuk terpilih,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya tadi.
Jenazah dibawa pulang ke kampung halaman dan akan disolatkan di Masjid Kampung Beringin, Durian Tunggal sebelum dikebumikan selepas solat zuhur hari ini.
Sanusi berkata, arwah yang merupakan anak lelaki bongsu dalam enam beradik meninggalkan seorang isteri, Nor Azilah Amti dan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan.
Dalam kejadian pukul 11.48 pagi semalam, arwah Mohammad Azim maut akibat dihempap keretanya sendiri di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 5, di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dilaporkan berkata, kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE



