Buletin

PEMUDA PECUT KERETA SEHINGGA LANGGAR MPV POLIS

Hanya kerana lesen kenderaan motor (LKM-cukai jalan) kereta tamat tempoh, seorang lelaki memecut kenderaan sehingga melanggar kenderaan polis dan sebuah kereta orang awam, malam tadi.

Selepas ingkar arahan berhenti, polis mengejar suspek sejauh 10 kilometer dari kawasan Tikam Batu sebelum dia ditahan di kawasan Sungai Layar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pada jam 9.30 malam tadi, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis sedang bertugas di Jalan Kuala Ketil.

Pada jam 10.10 malam, bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat untuk memberi bantuan kepada MPV polis terbabit yang sedang mengejar sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun selepas memberi arahan untuk berhenti.

“Apabila sampai di kawasan perumahan Taman Seri Tanjung, suspek telah terlanggar sebuah kereta Proton Saga milik penduduk yang diparkir di garaj kereta.

“Kemudian suspek terus melarikan diri sekali lagi walau pun sudah diarahkan berhenti.

“Apabila sampai di Jalan Sungai Layar, suspek terserempak kereta peronda polis yang datang untuk memberi bantuan dan dalam cubaan untuk melarikan diri sekali lagi, suspek dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian tepi MPV polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan mendapati, cukai jalan kereta yang dipandu suspek sudah tamat tempoh namun suspek mempunyai lesen memandu.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati, dia bebas dari pengaruh dadah,” katanya. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button