Motosikal
3 ANGGOTA POLIS DITAHAN BANTU SIASAT KEHILANGAN KOMPONEN YAMAHA RX-Z
Susulan daripada kejadian kehilangan komponen motosikal jenis Yamaha RX-Z di stor barangan kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, seramai tiga anggota polis telah pun ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan mengesahkan ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 32 tahun itu ditahan selepas polis mendapati berlakunya kehilangan komponen motosikal.
“Pihak kami kemudiannya menjalankan siasatan sebelum menahan semua suspek untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati kesemua suspek memiliki motosikal jenis sama dan peminat tegar RXZ,” jelasnya.
Yamaha RX-Z merupakan antara motosikal yang cukup popular di Malaysia meskipun pengeluaran motosikal itu telah pun dihentikan pada 2008. – Harian Metro