Buletin

PEPERIKSAAN UPSR & PT3 TAHUN 2020 DIBATALKAN

Kementerian Pendidikan (KPM) sebentar tadi mengumumkan bahawa peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini dibatalkan.

Langkah itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada exco pendidikan negeri, wakil daripada majlis agama Islam negeri, pengarah pendidikan negeri, pegawai pendidikan daerah, gabungan majlis pengetua serta guru besar, persatuan ibu bapa dan komuniti, pengusaha sekolah swasta, antarabangsa dan pusat bahasa, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang berkaitan dengan pendidikan.

Pihak kementerian juga telah mendapatkan pandangan daripada ibu bapa dan guru melalui pelbagai saluran.

Biarpun UPSR dibatalkan, ia tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid. Ini kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

Pembatalan PT3 pula dilihat tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan.

Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan 5 ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan pun, akses murid kepada PdP tetap diberikan keutamaan.

Keputusan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

KPM menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN.

Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid.

Google ads
Back to top button