Buletin

ROTI CANAI ADA DADAH. LIMA SUSPEK DITAHAN POLIS

Seramai lima individu termasuk seorang pelajar kolej swasta ditahan susulan penemuan dadah disyaki ganja dalam bungkusan roti canai dibawa penghantar makanan di sini, pada Isnin lepas.

Dia yang berusia 31 tahun menerima pesanan untuk menghantar satu bungkusan barang itu dari Petaling Jaya ke Setapak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe memberitahu, tiga lelaki dan dua wanita tersebut ditahan dalam operasi lebih lima jam bermula 8.30 malam tadi di Setiawangsa dan Bangsar.

Seorang pelajar kolej swasta berusia 19 tahun yang memesan bungkusan makanan berkenaan ditahan di Setiawangsa dan suspek didapati positif dadah.

Sementara dua lagi lelaki ditahan di sebuah rumah di Bangsar kerana disyaki membekalkan bungkusan makanan berisi dadah kepada pelajar tersebut.

“Turut ditahan dalam operasi ialah dua wanita berusia 63 dan 70 tahun yang berada dalam rumah sama untuk siasatan lanjut,” kata Arifai. 

Polis juga menemui satu ketulan mampat dan beberapa paket plastik kecil berisi dadah disyaki ganja di rumah suspek di Bangsar. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, media melaporkan seorang penghantar makanan membuat laporan polis selepas menemui dua paket disyaki dadah jenis ganja dalam bungkusan makanan pelanggannya pada Isnin lepas.  – BERNAMA

Google ads
Back to top button