Buletin

PERODUA ARUZ SAH DILANCARKAN – 2 VARIAN, BERMULA RM72,900 SEUNIT, BAKAL JADI SUV PALING LARIS DI MALAYSIA?

Perodua hari ini melancarkan SUV terbaharunya, Aruz secara rasmi ke pasaran tempatan.

Aruz menandakan kemasukan kali kedua Perodua ke dalam segmen SUV selepas Kembara dan Nautica sebelum ini.  

Sejak dibuka pada 3 Januari lalu, Perodua sudah menerima 2,200 unit tempahan. Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance.

Ia boleh anda miliki pada harga RM72,900 dan RM77,900 (atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia), sekali gus menjadikannya antara SUV paling mampu milik di Malaysia.

“Dengan Perodua Aruz, rakyat Malaysia kini boleh menikmati kelebihan sebuah SUV, termasuk ciri-ciri canggih yang biasanya hanya terdapat di dalam kenderaan mewah sahaja.

“Ini menjadikan Aruz antara SUV dengan nilai terbaik pada masa kini yang memenuhi anjakan ruang, keselamatan dan kecekapan,” kata Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

SUV tujuh-tempat duduk itu dikuasakan oleh enjin empat selinder bersesaran 1.5 liter Dual VVT-i. Enjin yang turut dipasang pada Toyota Rush itu mampu menjana kuasa sehingga 105PS dan tork 136Nm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik empat kelajuan torque converter. Menurut Perodua, Aruz boleh menawarkan penggunaan bahan api sekitar 15.6km bagi setiap liter petrol.

Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada semua varian Perodua Aruz termasuklah Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ISOFIX dan enam beg udara. Varian Advance pula dilengkapi sistem Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang telah dinaik taraf dengan penambahan pengesanan pejalan kaki dan peningkatan kelajuan operasi.

Dengan 95 peratus komponen diperoleh daripada sumber tempatan, Aruz merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) keempat daripada Perodua. Bukan itu sahaja, SUV itu dianugerahkan penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Aruz didatangkan dengan jaminan selama lima tahun dan perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu). Lima warna luaran ditawarkan – putih, perak, biru, kelabu dan warna baharu hijau atau Amazon Green.

Aruz nyata melengkapkan lagi barisan produk Perodua sedia ada. Berdasarkan kepada pakej produk yang ditawarkan, Perodua mensasarkan purata jualan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit Aruz sebulan sepanjang tahun 2019.

Sebagai bonus tambahan, bermula 9hb Januari, semua pelanggan yang membeli insurans motor Perodua Total Protect Plus bukan sahaja akan menikmati Perodua Auto Assist percuma.

Malah penamaan pemandu percuma tanpa had, elaun banjir sehingga RM1,000 serta perlindungan Kemalangan Peribadi sehingga RM10,000.G

Google ads
Back to top button