" "
Artikel Pilihan

PERALATAN PELIK YANG PERNAH DIPASANG PADA KERETA

Pelbagai pembaharuan telah dilakukan dalam dunia automobil oleh pengeluar. Idea-idea barumuncul atas nama keselamatan ataupun sebagai tambahan kepada ciri ergonomik. Tapi itu bukannya bermaksud semuanya boleh diterima pakai. Ada yang nampak hebat pada konsep tetapi bila diwujudkan ia nampak macam merapu ataupun berlebih-lebihan. Mari kita tengok beberapa peralatan pelik yang pernah dipasang pada sesebuah kereta.

Sistem Keselamatan Anti-Penculikan Volvo

Ia mula dipasang pada model S80. Sistem Personal Car Communicator (PCC) akan memberitahu anda sama ada pintu berkunci ataupun tidak. Itu biasa dan logik. Menariknya PCC turut akan memaklumkan anda jika terdapat individu lain yang berada di dalam kereta yang mungkin akan mengancam anda. Kenapa PCC boleh tahu ada manusia di dalam kereta anda? Jawapannya ialah Volvo S80 tersebut dilengkapi dengan sensor degup jantung yang akan mengesan degupan jantung sesiapa sahaja yang berada dalam kereta anda.

Tempat duduk berpusing Chevrolet

Idea ini cukup bijak kerana boleh membantu warga emas yang kurang berupaya untuk masuk dan keluar dari kenderaan. Antara kereta yang pernah dilengkapkan dengan ciri ini ialah Chevy Laguna S3. Idea ini bagaimanapun tidak bertahan lama kereta struktur tempat duduk kenderaan mesti diperkuatkan agar mampu bertahan sewaktu kemalangan. Kalau dah kerusi boleh berpusing macam kerusi pejabat, macam mana nak kukuhnya.

Cakera pengesan langgar lari

Ini satu idea yang nampak menarik tetapi tidak pernah digunakan. Jika pemandu melanggar sebuah kereta lain ataupun pejalan kaki, sekeping cakera kecil akan terkeluar dari badan kereta untuk membantu pihak berkuasa mengesan pesalah terbabit dan menahan mereka. Ia memudahkan kerja pihak berkuasa kerana cakera kecil tadi mempunyai butir-butir lengkap pemilikan sesebuah kereta.

Tombol gear berkembar Mitsubishi

Pernah tak anda memandu dan rasa enjin kereta anda masih berputar pada kelajuan yang terlalu tinggi? Masa tu mungkin anda akan terfikir alangkah baiknya jika masih ada lagi gear seterusnya untuk membolehkan enjin bekerja dengan lebih relaks. Sistem gear berkembar Mitsubishi ini sebenarnya bukannya bertindak sebagai gear tambahan tetapi lebih kepada untuk menjimatkan bahan api dengan dua mod pilihan, “Power” dan “Economy”. Ia digunakan pada Mitsubishi Mirage tahun 70-an.

Roda stereng Rim Blow

Ini betul punya stereng untuk orang pemalas. Kenapa? Kerana ia dilengkapi dengan tiub getah di sekeliling roda stereng untuk memudahkan anda menekan hon bila-bila masa. Apa susah sangat ke nak tekan butang hon kat tengah macam kereta lain?

Stereng mudah alih Ford

Streng teleskopik dan boleh laras adalah perkara biasa pada masa kini tapi suatu ketika dulu ia adalah peralatan mewah. Ford bagaimanapun mencipta inovasi pada tahun 1961 dengan model Thunderbird mereka yang dilengkapi dengan stereng Swing-Away yang boleh dianjakkan ke kiri dan ke kanan untuk memudahkan pemandu keluar dan masuk. Ia digunakan untuk beberapa ketika sebelum dilarang oleh undang-undang atas sebab keselamatan.

Openometer BMW

Meter apa ni? Ia diperkenalkan oleh BMW pada model Mini convertible keluaran mereka. Fungsinya ialah untuk memberitahu pemandu berapa lama mereka sudah memandu dengan bumbung terbuka. Ia untuk mengelakkan kulit anda menjadi gelap akibat terlebih berjemur kot? Berapa agaknya dibelanjakan BMW untuk menghasilkan meter ini?

Skuter Honda City

Honda City merupakan sebuah kereta kompak hatchback 3-pintu yang sangat kecil satu ketika dulu. Ia dipasarkan oleh Honda pada tahun 80-an dan kononnya sangat mudah dipakir. Setahun kemudian mereka turut menawarkan Motocompo, sebuah skuter kecil yang boleh dilipat dan diletakkan di dalam but kereta. Kalau jalan sesak, anda boleh meletakkan kereta di mana-mana dan mencelah dalam kesibukan kota dengan skuter tadi. Tapi ramai jugak yang tunggang skuter tu balik terus kot.

Penyembur pewangi Mercedes-Benz

Ini merupakan satu-satunya kereta dengan penyembur pewangi automatik yang dibangunkan oleh mereka sendiri. Tak payahlah anda menghidu hampir satu rak pewangi di pasaray kerana anda boleh memilih jenama Mercedes sendiri. Mercedes menyatakan yang mereka mempunyai pakar mereka sendiri yang mengkaji dan menghasilkan pewangi khusus untuk model mereka. Harganya? Takkanlah sama dengan pewangi dalam botol ala tangkal yang anda beli kat pasar malam.

Google ads
Back to top button