Artikel PilihanBuletin

PERODUA BEZZA, KERETA BURUK. TAPI 280 UNIT TERJUAL SETIAP HARI

Secara tradisinya, apabila memasuki tahun akhir pengeluaran sesebuah kereta maka penjualan sesebuah model kereta akan merosot dengan teruk. Kadangkala pengeluar terpaksa memberikan sejumlah besar diskaun bagi menarik perhatian pembeli baru dan bersaing dengan model baru

Tapi sifir ini nampaknya tak terpakai kepada sebuah sedan buatan tempatan iaitu Perodua Bezza yang telah dilancarkan semenjak tahun 2016 dan diberikan nafas baru pada tahun 2020.

Selepas 9 tahun berada di pasaran, jualan Perodua Bezza tetap rancak dengan pencapaian terbaik model ini ialah pada tahun 2024 dengan 100,814 unit terjual. Angka ini merupakan satu angka yang sangat bagus bagi sebuah kereta rakyat

Jika anda cuba menempah kereta Perodua Bezza pada hari ini, besar kemungkinan anda perlu menunggu antara 2 ke 3 bulan selepas tempahan anda dibuat. Silap haribulan jika anda sudah tidak sabar, mungkin anda kena terima apa sahaja warna yang ditawarkan oleh pusat jualan

Jika difikirkan secara logik dan dibandingkan di atas kertas, tiada apa pun yang istimewa berkenaan dengan Perodua Bezza ini. Platform yang digunakan adalah platform yang dipinjam daripada Perodua Axia generasi pertama, malah mengekalkan jarak antara roda yang pertama. Hanya front over hang dan rear overhang sahaja yang diubah

Ini membenarkan Perodua Bezza memiliki ruang kargo sehingga 508 liter, namun mengorbankan rekaan luar. Perodua Bezza nampak kurus, panjang dan bahagian belakang yang tonggek. Saya hanya berkenan dengan rekaan lampu depan LED sahaja, manakal rekaan lain semua tak lawa

Bagi unit trenkuasa, ia ditawarkan dalam 2 pilihan enjin samaada enjin 3 silinder 1000cc VVT-i yang menjana 67hp dan 91Nm ataupun enjin 1300cc 4 silinder dual VVT-i yang menjana sehingga 94hp dan 121Nm tork.

Bagi varian 1000cc manual, ia ditawarkan dengan harga serendah RM 34,580 manakala varian 1300cc hanya ditawarkan dengan varian automatik 4 kelajuan sahaja. Tiada apa pun yang istimewa berkenaan dengan enjin ini melainkan ia diberikan ciri pemasaan injap dan pacuan rantai untuk sistem pemasaan

Mungkin atas sebab enjin inilah juga Perodua Bezza akan sentiasa dijual dengan lebih mahal berbanding dengan Proton Saga yang ditawarkan pada harga serendah RM 34,800 sehingga RM 44,800 bagi varian tertinggi

Namun jika dibandingkan dengan Proton Saga yang menerima suntikan Proton Ride & Handling, pengendalian Perodua Bezza memang tidak menarik. Faktor lain seperti ergonomik, kadar NVH dan kebisingan tayar pun tidak begitu baik

Namun dari segi jualan, Perodua Bezza terus mencanak tinggi. Salah satu aspek yang berjaya dimenangi oleh Perodua ialah ruang kargo yang besar dan dijual dengan harg berpatutan. Pengiraan kasar menunjukkan jika anda membeli varian 1.0 manual, bayaran bulanan adalah kurang daripada RM 400 sebulan

Bagi isi rumah yang berpendapatan rendah dengan 3 anak, ini adalah kereta sedan yang paling munasabah untuk digunakan dengan efisyen. Enjin VVT-i dan dual VVT-i yang digunakan akan memastikan bil petrol bulanan sentiasa rendah, apatah lagi jika Bezza dipandu setiap hari ke tempat kerja, ke sekolah dan bila hendak balik ke kampung

Kalau ikut pengalaman penulis, kecekapan bahan api Perodua Bezza sangat baik dengan purata antara 18-20km/liter bergantung pada trafik dan cara pemanduan. Semua ini boleh dicapai tanpa sistem hibrid yang kompleks

Enjin 1KR-VE dan enjin 1NR-VE juga adalah tahan lasak walaupun dibina dengan aluminium sekiranya pemilik menukar minyak pelincir dan menyelenggara mengikut sela masa yang ditetapkan

Tayar bersaiz 14 inci atau 15 inci yang digunakan masih lagi dikategorikan sebagai mampu milik dan boleh dibeli tanpa menyebabkan pemilik terpaksa berhutang dengan kad kredit

Malah sokongan pusat servis pada harga berpatutan dan juga pembaharuan cukai jalan yang murah (RM 20 bagi varian 1000cc dan RM 70 bagi varian 1300cc) juga membantu pemilik mengurangkan kos dan komitmen pengangkutan setiap tahun.

Malah sistem enjin dan transmisi yang ringkas ini juga membolehkan pemilik yang membeli unit terpakai untuk melakukan servis di mana-mana pusat servis di luar dengan senang. Perodua Bezza tak perlu special tools dan special equipment untuk servis

Malah jika anda berminat untuk mengubahsuai imej dan juga menjadikan Perodua Bezza lebih sporti dan Ah Beng, beli sahaja semua aksesori tambahan di atas talian yang djual dengan bersepah sepah pada harga cukup mampu milik

Pendek kata, Perodua sebagai sebuah syarikat nasional berjaya dalam mengkaji dengan baik apakah kehendak dan keperluan pengguna di dalam negara dengan tepat, mempunyai data yang betul dan semua kajian ini diterjemahkan sebagai Perodua Bezza

Ia bukanlah kereta paling power, kereta paling sedap dipandu, kereta dengan pengendalian ibarat kereta lumba, atau rekaan paling power. Tapi ia adalah kereta yang diperlukan oleh pengguna setiap hari.

Google ads
Back to top button