Buletin

PERODUA MYVI FACELIFT 2021 RASMI DILANCARKAN. ASA 3.0, TRANSMISI D-CVT, TIADA VARIAN MT, BERMULA RM45.7K

Perodua sebentar tadi melancarkan model ikonik mereka, Myvi yang telah ditambah baik ke pasaran tempatan. Sebanyak 4,303 tempahan berjaya dikumpul dalam tempoh sembilan hari dan penghantaran akan dibuat bermula esok. 

Sejak dijual pada Mei 2005, lebih 1.3 juta Myvi sudah terjual dengan 277,329 unit merupakan model generasi ketiga. Myvi baharu menerima bahagian atas badan (full upper body) yang direka sepenuhnya oleh pasukan Perodua. 

Projek Myvi facelift 2021 bermula pada Februari 2019 yang melibatkan kos sebanyak RM50 juta. Mengambil masa selama 137,000 jam, ia turut menerima bantuan daripada Daihatsu Motor Corporation (DMC). Dengan pengeluaran secara massa  bermula pada 9 November lalu, Perodua mensasarkan untuk menjual 6,000 unit Myvi sebulan.

Varian dan harga di atas jalan Myvi 2021 adalah seperti berikut: 

  • 1.5L AV – RM58,800
  • 1.5L H   – RM53,900
  • 1.5L X  – RM49,900
  • 1.3L G   – RM47,700
  • 1.3L G   – RM45,700

Harus tahu bahawa model itu bukan setakat menerima bampar baharu, sebaliknya tingkat taraf yang diberi sangat signifikan.

Ini kerana sebagai model flagship Perodua, Myvi tidak boleh ketinggalan dari segi teknologi.  Turut dikenali dengan kod D51A, Myvi yang tampil dengan pendekatan lebih berani dan dinamik itu perlu mempunyai perbezaan konsep gayaan ketara berbanding Ativa. 

Dari segi luaran, varian H dan AV Myvi dipasang dengan bampar hadapan/belakang baharu, gril hadapan, lampu LED, lampu nyalaan siang (DRL),  lips hadapan bersama kemasan perak dan perumah cermin sisi berwarna hitam. Tidak dapat dinafikan bahawa rekaan tersebut membuatkannya kelihatan lebih garang dan sporty. 

Masuk ke ruang kabin, anda akan dihidangkan dengan saiz skrin audio yang mengikut antara muka Ativa kini lebih besar iaitu 6.9 inci berbanding 6.2 inci sebelum ini. 

Multi-Info Display LCD 4.2 inci telah ditukar kepada paparan TFT yang lebih jelas, lengkap bersama animasi ‘WELCOME” dan bar baki bahan api semasa berwarna. Jentera berkenaan juga menerima stereng baharu bersama butang kawalan sistem keselamatan terkini. 

Lihat ke bahagian bawah tuil gear, nombor 3 dan 2 telah diubah menjadi S dan B. S bermaksud Sport yang akan menurunkan satu gear untuk pecutan dan sesuai ketika hendak memotong. Tolak tuil ke B (Braking), ia akan membuatkan gear berada dalam gear paling rendah untuk engine braking lebih baik. Ia sesuai digunakan ketika melalui laluan yang curam.  

Varian AV menerima kemasan berwarna merah pada konsol tengah dan corong pendingin hawa. Tempat duduk kulit pula menggunakan tona merah/hitam. Varian lebih rendah menerima fabrik baharu dengan corak yang menarik dan moden. 

Naik taraf paling besar ialah peralihan daripada kotak gear automatik empat kelajuan kepada transmisi D-CVT untuk enjin 1.3 dan 1.5 liter. Perodua menyatakan pengunaan kotak gear baharu itu menawarkan penjimatan sebanyak lima peratus menjadi 22.2km/l (enjin 1.3) dan 21.1km/l bagi enjin 1.5 liter. 

Bukan itu sahaja, pecutan dari 0 ke 100 juga 20 peratus lebih pantas dengan catatan 11.5 saat untuk enjin 1.3 liter dan 10.2 saat bagi enjin 1.5 liter. 

Prestasi itu dapat dicapai kerana saiz kotak gear yang lebih ringan dan kompak. Ia juga menawarkan pecutan lebih lancar dan senyap pada kelajuan rendah. Pemandu boleh mengekstrak sepenuhnya kuasa enjin apabila butang Power (PWR) yang ada pada stereng ditekan. 

Buat pertama kalinya, Perodua tidak lagi menawarkan varian dengan kotrak gear manual. Langkah itu diambil selepas mengambil kira jumlah jualannya yang tidak sampai pun satu peratus.

Satu lagi perubahan penting pada Myvi ialah pemasangan sistem keselamatan yang lebih mantap. Insiatif tersebut dibuat bagi merealisasikan matlamat menawarkan teknologi automotif termaju kepada semua orang. Dilkenali sebagai sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), ia direka dengan mengambil kira keselamatan pemandu dan pejalan kaki. 

PSDA mempunyai empat ciri iaitu Bantuan Pemanduan Selamat (ASA); Bantuan Pemanduan; Bantuan Parkir dan Bantuan Lampu Utama. Semua ciri itu boleh didapati pada varian AV yang melayakkannya menjadi kereta dengan teknologi Autonomi Tahap 2.

PSDA yang merangkumi ASA 3.0 itu ditambah dengan dua fungsi baharu iaitu Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Keep Assist (LKA). 

Ciri keselamatan lain termasuklah Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Auto High Beam (AHB) dan Adaptive Driving Beam (ADB). 

ASA 3.0 yang dipasang pada Myvi facelift juga merangkumi ciri Pre-Collision Warning (PCW) yang kini mampu mengesan kenderaan, pejalan kaki, motosikal dan basikal pada kelajuan 4-120km/j untuk kenderaan/motosikal serta 4-60km/j (pejalan kaki). 

Pre-Collision Warning pula berfungsi dengan sistem menekan brek apabila ia mengesan kenderaan, pejalan kaki dan motosikal/basikal. PCW akan berfungsi pada kelajuan 4-120km/j untuk kenderaan/motosikal serta 4-60km/j (pejalan kaki). Ia boleh digunakan pada sepanjang masa tanpa perlu mematikan enjin untuk mengaktifkan kembali sistem berkenaan seperti mana pada ASA 1.0 dan ASA 2.0. 

Sistem berkenaan boleh berfungsi dengan baik pada waktu siang. Manakala pada waktu malam pula, ia hanya mampu mengesan kereta dengan lampu belakang dinyalakan. 

Bukan itu sahaja, Myvi turut dilengkapi sistem keselamatan pasif seperti 4 atau 6 beg udara (bergantung kepada varian), brek ABS, VSC dan banyak lagi sebagai ciri standard. Penambahan lain ialah kunci pintu automatik apabila kereta bergerak melebihi 20km/j dan pedal brek ditekan bagi memberi lebih keselamatan terutama kanak-kanak. 

Myvi didatangkan dalam enam pilihan warna iaitu merah (warna baharu), selain perak, putih, kelabu dan biru. Jika berminat, sila tempah sekarang bagi mengelakkan tempoh menunggu yang lama. 

GALERI

Google ads
Back to top button