PERODUA MYVI AKAN GUNA DCVT, TAPI TAK SAMA DENGAN GEAR ATIVA?
Gambar terbaru Perodua Myvi generasi ke 3 sudah pun tersebar di merata alam terutama di media sosial. Gambar Myvi dengan warna merah menyala tersebut merupakan facelift kali pertama besar-besaran yang dibuat oleh Perodua semenjak model ke tiga ini dilancarkan pada tahun 2017.
Facelift minor yang dilakukan pada tahun lepas menyaksikan Myvi menerima kemasan cat Biru Elektrik selain sistem ASA dipertingkat supaya setara dengan model-model yang terbaru. Warna merah yang berjaya diintip ini pula merupakan warna yang sama dengan warna merah pada Perodua Aruz, mungkin kod warna yang sama.
Bampar depan dilihat menerima sepasang lampu DLR berdasarkan pada gambar serta kemasan seakan-akan skid plate pada bahagian bawah bampar depan. Rekaan lampu depan juga telah diubah dan berdasarkan teknologi lampu adaptif LED yang diterima pada Ativa, kita boleh buat anggapan bahawa teknologi ini mungkin digunakan pada Myvi
Tiada perubahan pada bahagian enjin, ia masih menggunakan enjin dual-VVTi 1500cc yang menghasilkan 102 kuasa kuda dan 136Nm. Sebenarnya sudah cukup untuk sebuah kereta kompak dengan berat 1010kg ini. Berdesup Myvi ini memecut di lampu isyarat. Masalah yang nyata ialah penggunaan transmisi 4 kelajuan automatik
Transmisi ini merupakan epitome of excellence bagi Perodua, senang dijaga, dihasilkan sendiri oleh mereka, lancar, dan responsif untuk kegunaan harian. Jika anda menggunakan kaedah pecutan klasik dengan menekan pedal rapat ke lantai, ia akan terus memecut laju sehingga 160km/j. Mungkin boleh capai 170km/j kalau anda tarik ke gear 3.
Kuasa enjin seperti sedikit tersekat dalam kotak gear, dan pada hemat kami ia disebabkan hanya 4 ratio sahaja yang wujud. Nak lebih power, nak lagi jimat dan laju maka seperti yang dijangka unit DCVT dari model Ativa akan digunakan pada model Myvi facelift
Analogi dia begini tuan-tuan, katakan anda berlumba basikal dengan kawan dari Gombak ke Genting Sempah. Anda dan kawan anda sama-sama cergas, kuat dan bertenaga. Tapi anda naik basikal ada gear dan kawan anda naik basikal tiada gear. Sudah tentu anda menang sebab anda naik basikal ada gear, senang nak ubah ratio masa naik bukit
DCVT akan menawarkan ratio yang lebih luas (infiniti sebenarnya), pecutan yang lebih baik, merendahkan RPM enjin pada halaju yang tinggi serta merendahkan penggunaan petrol dan membolehkan Myvi pergi dengan lebih laju. Untuk model Perodua Ativa, ia ditawarkan dengan ciri Shiftronic di mana pemandu boleh mengawal penukaran gear ala-ala kereta manual
Ciri ini penting bagi pemandu yang suka mengawal gear ketika pemanduan agresif mendaki, menuruni bukit dan mengambil selekoh agar prestasi kereta berada dalam keadaan optimum. Jadi Perodua Ativa menawarkan unit kawalan transmisi dari P R N D dengan D diberikan ciri S/M serta tolok + (menaikkan gear) dan -.(menurunkan gear).
Tapi bagi Perodua Myvi 2021 facelift yang akan dilancarkan nanti ia hanya ditawarkan dengan ciri transmisi P R N D S L. Ia tidak akan menawarkan ciri Shiftronic yang ada pada model Ativa. Gear D digunakan untuk pemandua biasa, S (mungkin Sport) jika anda ingin memecut atau digunakan di laluan berbukit dengan ratio CVT direndahkan dan L (mungkin Low) untuk laluan yang lebih curam dengan ratio CVT direndahkan lagi berbanding dengan S
Susah nak jawab atau nak buat spekulasi kenapa Perodua tak tawarkan ciri Shiftronic ini pada Myvi. Sebab pertama ialah mungkin sebab kos penghasilan, kalau kos mahal jadi Myvi facelift ini perlu dijual lebih mahal yang akan menyebabkan bakal pembeli marah. Ya la, pembeli di Malaysia semua nak murah, tapi spesifikasi BMW 7 series
Sebab kedua ialah mungkin ciri Shiftronic ini memerlukan lebih banyak cip komputer digunakan sedangkan semua sudah tahu bahawa satu dunia sekarang menghadapi masalah kekurangan bekalan cip untuk industri automotif. Bukan sahaja gear, radio kereta pun pakai cip ya.
Bila dan berapakah harga Perodua Myvi 2021 ini masih menjadi tandatanya, tapi kami rasa dengan beberapa ciri baru dan transmisi baru ia akan kekal menjadi model kompak terlaris untuk segmen B.