Buletin

PROJEK MYVI GT TERTANGGUH LAGI. INI SEMUA SALAH…

Perodua dijadual melancarkan Myvi facelift secara maya di laman Facebook rasminya pada jam 9.00 malam ini. 

Sempat melihat secara dekat di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang kelmarin, saya boleh katakan bahawa Myvi baharu sememangnya menawarkan nilai terbaik untuk wang anda. Ia kini sebuah kereta kompak yang lengkap serba-serbi, harga pun mampu milik. 

Sebut pasal Myvi, anda mesti teringat kepada model konsep Myvi GT yang pernah dipamerkan pada acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2018). Apa nasibnya sekarang?

Kami sempat bertanyakan perkara itu kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. Jawapan yang diterima sebenarnya agak mengejutkan. Menurut Zainal, Perodua sudah pun melantik satu pasukan untuk membuat kajian ke atas pembangunan Myvi GT.

 

Malah, model yang ditunggu-tunggu ramai itu sebenarnya sudah ada dalam pipeline untuk diproduksi. Namun, besar kemungkinan jumlah pengeluarannya tidak banyak dan harganya tidak murah untuk menjadikannya model yang lebih eksklusif. 

Malangnya, projek tersebut terpaksa ditangguhkan akibat penularan COVID-19 yang melanda dunia. Wabak tersebut membuatkan semua aspek merangkumi pengeluaran, vendor dan rantaian bekalan Perodua (dan pengeluar kenderaan lain) terjejas teruk. Sehingga kini, produksi di kilang Perodua masih belum pulih sepenuhnya. 

“COVID-19 membuatkan kami terpaksa menyusun semula semua sumber yang ada dan mengutamakan projek-projek lebih penting. Boleh jual ke Myvi GT dan ada turbo ke? Sebenarnya, enjin sedia ada pada Myvi tidak ada bolt-on turbo disebabkan oleh homolagasi. Jadi pemasangan unit turbo akan menyebabkan kos menjadi sangat tinggi. 

“Biarpun begitu, buat masa sekarang, saya boleh katakan bahawa kami tidak scrap sepenuhnya projek atau idea Myvi GT ini. Tengok lah macam mana nanti,” jelas Zainal sambil tersenyum. 

Senang cakap, masih ada harapan untuk kita menantikan kemunculan Myvi GT satu hari nanti. Cuma, persoalan bilakah ia akan keluar, tiada siapa yang boleh menjawabnya.  

Google ads
Back to top button