
PERODUA TAYANG 2 LAGI GAMBAR ACAH MODEL AXIA TERBARU, BAKAL DILANCAR PADA 14 FEBRUARI
Dalam satu kenyataan akhbar, Perodua telah berbesar hati untuk menayangkan lagi 2 keping gambar Perodua Axia 2023 yang terbaru untuk tontonan umum. Dengan dilayangkan dengan warna Coral Blue, gambar terbaru menunjukkan bahagian depan dan juga belakang Perodua Axia 2023.
Berdasarkan pengamatan kami terhadap gambar tersebut, ia merupakan varian AV disebabkan kewujudan sepasang sistem kamera stereo yang dipasang di bahagian atas cermin depan yang bertindak memberi input kepada Perodua Smart Drive Assist.
Rekaan bampar depan pula menampilkan tema X Design yang nyata, lampu LED dengan reflektor, lampu DRL LED, jeriji atas dan bawah rekaan horizontal, dan juga lampu penunjuk arah di bahagian cermin sisi. Rekaan belakang pula menunjukkan penggunaan antena ekor lebah (Bee Sting) berbanding dengan antena sirip jerung yang digunakan untuk model Myvi.
Lampu belakang pula diposisikan pada tiang C, bukannya pada pintu kargo belakang dengan rekaan yang lebih ringkas berbanding dengan model Myvi. lampu brek ke 3 dengan teknologi LED diposisikan di bahagian atas cermin dan nombor pendaftaran pula diposisikan di bampar bawah.
Berdasarkan pada gambar juga varian AV menerima 2 sensor parkir di depan dan 2 sensor parkir di bahagian belakang. Tapi ia tidak menerima perakam video digital seperti mana Myvi varian AV. Perodua juga mendedahkan jumlah jualan dan pengeluaran bagi bulan Januari 2023 melanjak sebanyak 43.5% kepada 21,499 unit berbanding bulan Januari 2022

Dengan memberi fokus kepada pengeluaran dan penghantaran maksimum, sebanyak 24,590 unit kenderaan dihasilkan pada bulan Januari 2023, meningkat sebanyak 40.2% daripada 17,538 unit berbanding dengan bulan Januari 2022.
“Penting untuk dinyatakan bahawa pada Januari tahun lepas (2022) telah berlakunya banjir, kekurangan bekalan cip semikonduktor, isu tenaga kerja dan kekurangan alat ganti lain – yang telah menghalang pengeluaran dan jualan.
“Namun demikian, peningkatan dalam volume bagi kedua-dua pengeluaran dan jualan telah menunjukkan bahawa ekosistem sedang berjalan seperti yang dirancang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Beliau berkata bahawa Perodua kekal komited kepada matlamat penghantaran kenderaan kepada para pelanggannya secepat mungkin tanpa menjejaskan kualiti atau keselamatan. Mengenai Perodua Axia Serba Baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Dato’ Sri Zainal berkata syarikat itu telah menukar hampir semua tempahan terdahulu model Axia semasa kepada model yang baharu.
“Penasihat jualan kami telah menghubungi para pelanggan untuk memaklumkan mengenai pertukaran Perodua Axia Serba Baharu dan kebanyakan mereka bersetuju untuk menukar kepada model baharu tersebut,” katanya.



