
BUGATTI EYEWEAR, CERMIN MATA BERHARGA RM5 RIBU HINGGA RM64 RIBU!
Untuk sesebuah jenama kereta mempunyai produk fesyen sendiri adalah perkara biasa. Kebiasaan itu bagaimanapun boleh bertukar kepada keterujaan apabila melibatkan pengeluar kereta ultra mewah.
Sebagai contoh Bugatti memperkenalkan koleksi cermin mata yang dibuat dengan kerjasama Larry D. Sands yang mempunyai pengalaman lebih 60 tahun di dalam industri feysen cermin mata.
Collection One dari Bugatti terdiri daripada sembilan gaya berbeza dan 37 cermin mata dan sebahagian daripada produk Bugatti Lifestyle.
Koleksi cermin mata itu dibuat daripada bahan yang berbeza seperti paladium, sterling silver 925, gentian karbon dan kayu Macassar ebony dengan pengaruh reka bentuk terdahulu dan semasa Bugatti.
Kerjasama kreatif di antara Larry dan Bugatti untuk menghasilkan projek ini mengambil masa selama dua tahun.
Bahan dan teknik pengeluaran belum pernah digunakan di dalam industri cermin mata sebelum ini dan dibangunkan dan dibuat khusus untuk menghasilkan Collection One.
Setiap cermin mata dibuat dengan teliti di Jepun dengan bahan seperti sterling silver 925, emas 18 karat dan paladium yang merupakan bahan termahal di dunia.
Penghasilannya pula menggunakan proses Positive Vapor Deposition (PVD) di mana bahan pejal diwapkan di dalam vakum dan disadur kepada permukaan produk.
PVD bertindak seperti proses saduran Diamond Like Coating (DLC) yang tahan lasak dan digunakan di dalam pembangunan dan pengeluaran kereta Bugatti.
Penggunaan gentian karbon dan Macassar ebony pula satu lagi contoh rekaan yang membawa identiti Bugatti. Juga menarik apabila corak gril Bugatti disesuaikan pada cermin mata ini.
Harga untuk cermin mata Collection One Bugatti bermula daripada AS$1,295 (RM5,566.66) hingga AS$15,000 (RM64,475.02).
BACA: BUGATTI CHIRON PROFILÉE KERETA PALING MAHAL DIBIDA, RM45.1 JUTA!
BACA: BUGATTI BABY II CARBON EDITION – HARGA CUMA RM373 RIBU
BACA: ANDA BERANGAN NAK PAKAI BUGATTI CHIRON? INI KOS MEMBELA CHIRON