Buletin

PERODUA TWECKBOT AKAN KE KK SEMPENA KRISMAS DAN TAHUN BARU

Perkhidmatan pemeriksaan kenderaan percuma yang telah lama dilaksanakan Perodua, Tweckbot akan menjalankan program jelajah keselamatan jalan raya terakhirnya bagi tahun ini di Kota Kinabalu pada hujung minggu hadapan.

Salah satu inisiatif di bawah Program Keselamatan Jalan Raya Perodua, Tweckbot akan berlangsung di ITCC Mall, Penampang dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada 21-22 Disember 2019.

Pelanggan yang memeriksa kenderaan mereka dengan Tweckbot akan menerima baucar diskaun 20% yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

Pemeriksaan melibatkan lebihi 50 poin seperti enjin, transmisi, sistem penyejukan, brek, stereng kuasa, klac, tayar, suspensi dan elektrik.

“Menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baru, ramai yang akan menggunakan jalan raya untuk bercuti, melawat keluarga dan sahabat-handai. Oleh itu, keadaan kenderaan amatlah penting, lebih-lebih lagi di Malaysia Timur di mana jarak perjalanan adalah jauh.

“Pasukan Perodua Tweckbot akan memeriksa kenderaan anda dan memberikan laporan kondisinya secara percuma.

“Ketika menunggu, kakitangan kami akan mempelawa anda untuk menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Perodua Tweckbot telah memeriksa lebih 8,000 kenderaan.

Google ads
Back to top button