
PORSCHE FAILKAN PATEN ENJIN BARU 6 LEJANG
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dunia automotif seakan sepi dengan pembangunan enjin pembakaran baru disebabkan perkembangan teknologi kereta elektrik. Bagi kebanyakan peminat automotif, kita sudah biasa mendengar terma seperti enjin 2 lejang dan juga enjin 4 lejang yang digunakan oleh hampir semua kereta pada hari ini
Enjin 4 lejang merujuk kepada 4 proses enjin yang berjalan dalam satu kitaran enjin, iaitu melibatkan 2 kali pusingan aci engkol. Kitaran enjin 4 lejang bermula dengan lejang kemasukan, lejang mampatan, lejang kuasa dan akhir sekali lejang ekzos. Hampir semua enjin di dunia ini menggunakan kaedah yang sama iaitu dengan 4 lejang lengkap berlaku dalam 720 darjah
Sebagai sebuah firma kejuruteraan automotif yang lama, Porsche sekali lagi membuatkan ramai peminat automotif menggaru kepala dengan idea mereka yang baru iaitu enjin 6 lejang dalam satu kitaran enjin.
Dalam satu fail paten melalui US Patent & Trademark Office, Porsche mendedahkan yang mereka sedang menjalankan kajian dan pembangunan bagi menghasilkan enjin baru 6 lejang, dengan melibatkan penambahan 2 lejang mampatan dan lejang kuasa kepada 4 lejang (ambilan, mampatan, kuasa & ekzos) yang sedia ada.

Menurut Porsche, proses 6 lejang ini sebenarnya ialah enjin 3 lejang yang digabungkan dalam satu kitaran. 3 lejang tambah 3 lejang, hasilnya ialah enjin 6 lejang. Sebenarnya kami cuba meringkaskan apa yang cuba diceritakan oleh dokumen sebanyak 81 muka surat
Menurut dokumen paten Porsche proses 6 lejang merangkumi 2 kitaran enjin 3 lejang bermula dari kemaskan – mampatan – kuasa diiukuti dengan mampatan – kuasa – ekzos. 2 lejang tambahan ini dibuat dengan bantuan aci engkol yang berputar pada satu komponen tambahan dinamakan sebagai Annulus.
Annulus ini membantu enjin beroperasi dengan lejang enjin beroperasi pada jarak yang berbeza, ini bermakna enjin Porsche ini memiliki 2 nisbah mampatan, 2 titik tertinggi (top dead center) dan 2 titik terendah (bottom dead center) yang dilalui oleh piston
Menurut fail paten ini lagi, tujuan utama enjin 6 lejang dibuat ialah untuk menjana lebih banyak kuasa. Jika anda perasan terdapat 2 lejang kuasa pada enjin ini. Porsche juga menyatakan enjin ini akan memberi hayat yang lebih panjang pada masa depan enjin pembakaran dalam, memastikan enjin kekal relevan dalam dunia kereta elektrik

