PEUGEOT 408 GT, LAMBORGHINI URUS VERSI BAJET?
Sekiranya anda fasih dan biasa dengan model Peugeot satu ketika dulu, anda akan biasa melihat model 408 yang dihasilkan dalam bentuk sedan. Namun pada hari ini model 408 ini telah mengalami evolusi yang cukup luar biasa, berubah daripada sedan kepada kereta dengan rekaan yang cukup unik.
Daripada depan, 408 GT ini nampak seperti sedan, kelihatan sebagai sebuah wagon dari sisi tetapi berubah menjadi seakan crossover dari belakang dengan rekaan bumbung digayakan seperti sebuah fastback. Mungkin kita boleh gelarkan 408 Gt ini sebagai crossback iaitu gabungan fastback dan crossover.
Dari segi saiz, panjang 406 GT mencapay 4687mm, lebar 1859mm manakala tinggi hanya 1487mm. Lantai platform pula dinaikkan kepada 189mm menjadikannya seakan sebuah crossover. Rekaan depan menggunakan lampu depan, hud depan, cermin dan pintu yang sama dari model 308
Dengan rekaan ala-ala fastback, pekali geseran 408 GT direndahkan kepada 0.28 dan juga memberikan ruang kepala yang luas di bahagian belakang. Spoiler belakang dengan rekaan telingan kucing pula direka bagi menempatkan engsel pintu but belakang
Jurutera Peugeot mengambil masa sehingga 7 tahun bagi menghasilkan 408 GT di atas platform EMP2 V3 ini, dan 18 bulan masa diperlukan untuk memperhalusi rekaan rim Monolith 20 inci. Tapi jujurnya, penulis rasakan rekaan ini tetap buruk
Sekiranya anda menukar rim Monolith ini kepada rekaan yang lebih agresif, 408 GT memang nampak seperti Lamborghini Urus jadian. Bagi varian GT, 408 ini turut dilengkapkan dengan lampu matrik LED, lampu DRL Claw Design , lampu belakang 3D Claw Design dan tiada kemasan krom pada bahagian luar.
408 GT juga menggunakan enjin Puretech 1600cc 4 silinder turbo yang menjana sehingga 215 kuasa kuda dan 300Nm tork, jauh lebih berkuasa dari enjin Prince lama. Dengan penggunaan gear automatik 8 kelajuan, bacaan bahan api adalah sekitar 13.14km per liter petrol
Rekaan dalaman kabin 408 GT aalah mirip dengan model 308 yang baru, dengan ruang tengah papan pemuka menempatkan skrin multimedia 10 inci lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar.
Khas bagi varian GT juga ialah sistem 10 pembesar suara daripada jenama Focal yang menghasilkan 650 watt. Di bawah skrin terdapat ciri i-Toggle iaitu skrin kecil bagi mengawal sistem penyaman udara yang digabungkan dengan butang fizikal
Rekaan unik Peugeot termasuklah rekaan stering yang kecil, dan rata di bahagian atas serta bawah. Meter Digital pula datang dengan ciri 3D Quartz i-Cockpit yang nampak seperti hologram.
Hanya varian GT menerima kemasan kulit nappa, kusyen depan dengan memori, ciri urutan, penapis penyaman udara, lampu kabin 8 pilihan, jahitan benang kuning serta kemasan alcantara pada bahagian pintu.
Penumpang belakang boleh menikmati pandangan ke luar menerusi cermin suria panaromik, 4 poin USB dan juga ruang but belakang sebesar 536 liter. Ruang kargo ini boleh dibesarkan menjadi 1583 liter apabila kusyen belakang dilipat
Respon yang dihasilkan oleh enjin Puretech ini memang mengujakan, mampu memberikan pecutan 0-100km/jam dalam masa 7.9 saat dengan halaju tertinggi dihadkan pada 220km/jam. Terdapat 3 mod pemanduan yang boleh dipilih samaada Sport, Eco ataupun Normal
Pada kebanyakan masa penulis memang menggunakan mode Normal melainkan penulis perlu mengejar BMW 5 Series ataupun Mercedes Benz C200 di lebuh raya.
Respon gear adalah pantas dan agresif pada halaju tinggi, mungkin respon klac terlalu agresif sehingga menyebabkan operasi ketika halaju perlahan (dalam kesesakan jalan raya) menjadi kurang lancar
Sistem suspensi pula menggunakan McPherson pada roda depan dan Coupled Torsion Beam pada roda belakang. Sistem ini adalah sistem torsion beam yang membenarkan sedikit pergerakan beam dalam pemanduan. Ia direka dengan sedikit keras, sporti tetapi tidak terlalu keras sehingga menyebab keselesaan terganggu.
Mungkin ia berada dalam skala 6.5/10, dan pada pendapat penulis ia cukup seimbang melainkan anda memandu 408 GT di atas garisan kuning pada halaju tinggi barulah 408 GT terasa sedikit meloncat. Namun pada halaju tinggi ia cukup stabil terutama jika anda perlu mencelah kenderaan yang perlahan.
Rekaan brek pula menggunakan angkup jenis terapung bagi mengurangkan geseran ketika bergerak. Respon pedal brek dirasakan agak lembut dan tidak agresif. Kedudukan pedal brek dan minyak pula berada dekat antara satu sama lain
Gabungan respon brek yang lembut dan kedudukan pedal yang dekat membolehkan anda mengasah kemahiran trail braking ketika selekoh ataupun left foot braking. Malah anda boleh membuat trail braking dengan menekan pedal minyak dan brek menggunakan kaki kanan sahaja dengan sebelah kaki sedia memijak pedal minyak
Diameter stering pula adalah kecil dan agresif, memerlukan hanya sekitar 1.4 pusingan sahaja untuk pusingan penuh ke kanan atau kiri. Disebabkan isu ini, penulis mengambil pendekatan berhati-hati ketika menggunakan stering. Memberikan input dengan cermat semasa di selekoh, tapi tidaklah sampai menyebabkan menyusahkan pemanduan
Dalam aspek keselamatan, 408 GT lengkap dengan semuac curi keselamatan aktif dan terkini merangkumi Traffic Sign Recognition, Hud Depan Aktif untuk pejalan kaki, sistem pemanduan adaptif, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan sistem pemantauan tekanan angin tayar
Seperti biasa, 408 GT juga ada beberapa kelemahan yang perlu diterima oleh bakal pemilik. Antaranya ialah ruang simpanan di papan pemuka yang agak kecil dengan bentuk yang tidak mesra pengguna, rim 20 inci Monolith dengan rekaan yang pelik serta operasi gear yang tidak lancar
Dari segi penawaran harga Peugeot 408 ditawarkan dalam 3 varian dengan harga termurah bermula dari RM 146,000 manakala varian GT datang dengan harga RM 196,000. Ia masih merupakan kereta Continental termurah yang ditawarkan pada hari ini.
Stellantis Malaysia menawarkan 7 tahun jaminan dengan 5 tahun servis percuma. Pemilik hanya perlu membayar kos upah sahaja. Bagi penulis, harga yang ditawarkan adalah masuk akal dan berbaloi. Cuma harapannya ialah Stellantis boleh menjaga aspek servis selepas jualan bagi menjaga nama Peugeot