Artikel Pilihan

PROTON: DENGAN KETEKUNAN DAN MATLAMAT

Kebanyakan usahawan yang berjaya percaya bahawa laluan ke arah kejayaan adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang melalui jalan pintas dan lancar tetapi ada juga yang terpaksa melalui jalan yang penuh berliku dan mengharungi pelbagai cabaran.

Namun, sekiranya seseorang itu memutuskan untuk berhenti dan tidak meneruskan arah itu, perjalanan tersebut akan kekal misteri atau sebaliknya.

Disebabkan tidak mahu perjalanan mereka terhenti di pertengahan jalan, PROTON terus mengorak langkah dan menyusuri laluan yang dipilih.

Untuk memastikan segalanya berjalan lancar, mereka mengambil keputusan untuk membawa bantuan dari luar (Geely) untuk memastikan mereka tidak akan tergelincir ketika melalui laluan yang sukar.

Diketuai Dr Li Chunrong dan dengan tunjuk ajar beliau, PROTON kini berada di landasan hala tuju yang betul dan melonjak dengan merampas tempat kedua dalam jumlah jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia.

Sudah tentu bukannya sesuatu yang mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Tapi segala kerja keras akan menjadi sia-sia sekiranya tiada perancangan teliti.

Sebab itu jugalah pihak pengurusan PROTON memperkenalkan strategi untuk kekal fokus berdasarkan tiga tunjang utama iaitu Kualiti Produk, Khidmat Selepas Jualan dan perkembangan rangkaiannya.

Dari sudut reliabiliti, PROTON telah mengambil langkah-langkah penting bagi memastikan produk dan servis mereka terus mendapat kepercayaan daripada pelanggan.

Ini termasuklah penambahan cawangan 3S dan 4S di seluruh Malaysia serta menyelaraskan sistem rantaian bekalan bagi memastikan alat-alat ganti diterima dengan lebih pantas.

Dari sudut teknologi inovatif pula, jelas sekali bahawa PROTON telah banyak mengintegrasikan pelbagai teknologi baharu ke dalam produk-produk mereka.

Sebagai contoh, Proton X70 yang dilengkapi Geely Key User Interface (GKUI) yang membolehkan pemiliknya mengaktifkan pelbagai fungsi di dalam kereta itu dengan hanya menggunakan arahan suara.

Pemilik juga boleh mengakses status SUV mereka dengan hanya menggunakan aplikasi PROTON Link. Terbaharu, teknologi itu turut digunakan pada model-model Proton baharu yang lain seperti Iriz, Persona dan Exora 2019.

Bagi memenuhi piawaian antarabangsa, PROTON memeriksa dengan teliti setiap kereta yang dikeluarkan dari kilang mereka di Tanjung Malim dan Shah Alam menggunakan sistem Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang diamalkan oleh Geely.

Dengan GCPA, PROTON dapat mengenalpasti dan menyelesaikan masalah berkaitan dengan rekaan, kualiti alat ganti dan pelbagai aspek pembuatan sebelum produk tersebut dibawa masuk ke bilik pameran.

Bukan hanya Geely, malah Volvo turut menggunakan GCPA dalam proses pengeluaran mereka.

Strategi Pemasaran

Dalam dunia perniagaan, separuh daripada kemenangan dalam pertarungan dicapai apabila anda mampu menjual produk dengan harga lebih murah berbanding pesaing di pasaran, tetapi pada masa yang sama menawarkan mutu kualiti lebih baik. Itulah yang telah berjaya dibuktikan oleh PROTON.

Dengan menyelaras rangkaian bekalan alat ganti dan operasi dalaman, model generasi baharu Proton seperti Iriz, Persona, Exora dan Saga 2019 kini bukan hanya lebih murah, malah mampu memberikan pulangan yang lebih baik.

Sudah tentu pemilikan kereta tidak terhenti selepas pembayaran harga dibuat. Sama seperti kereta-kereta lain, penyelenggaraan adalah sama penting untuk memastikan kereta sentiasa berfungsi dengan baik.

Untuk itu, PROTON telah menaiktaraf banyak pusat cawangan 3S dan 4S di seluruh Malaysia. Kini sejumlah 100 cawangan telah dinaiktaraf dan sebanyak 120 cawangan lagi dijangka akan dinaiktaraf pada tahun ini.

Persediaan masa hadapan

Dengan rancangan kukuh dan momentum yang kuat, PROTON kini menetapkan hala tuju untuk menjadi yang pertama di Malaysia. Ini adalah bukti bagaimana ketekunan dan fokus kini semakin membuahkan hasil.

PROTON mendapat 782 mata dalam kajian JD Powers 2018, jauh lebih tinggi daripada pesaingnya. Malah, PROTON menguasai tempat kedua dalam pasaran automotif Malaysia.

Hasil jualan sebanyak 8,590 untuk bulan Julai sahaja bermakna mereka kini mempunyai momentum yang diperlukan untuk terus berjaya. Kini jalan yang dipilih sudah semakin selesa, tetapi perjalanan sebenarnya masih sangat jauh.

Tags
Google ads
Back to top button