Buletin

PERATURAN PSV E-HAILING DILANJUTKAN LAGI 3 BULAN

Pemandu E-hailing kini mampu menarik nafas lega apabila tarikh akhir untuk mendapatkan lesen Perkhidmatan Awam (PSV) mereka telah dilanjutkan 3 bulan lagi bermula 12 Julai.

Keputusan tersebut dibuat selepas Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan semalam dan memberitahu bahawa hanya 10 peratus pemandu E-Hailing mempunyai lesen PSV.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan perlanjutan tempoh tersebut merupakan pendekatan ke arah mengawal selia industri e-hailing, dengan pemandu yang tidak berlesen masih dibenarkan memandu sepanjang tempoh 3 bulan yang dilanjutkan – mereka hanya akan menerima amaran dan peringatan terakhir.

Walaupun keperluan PSV hanya diumumkan oleh kerajaan tahun lepas, proses pendaftaran dan latihan untuk lesen PSV hanya bermula pada 1hb April 2019. Ini hanya memberikan pemandu e-hailing kira-kira 3 bulan untuk mendapatkan lesen.

Pengumuman itu datang selepas Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyeru lanjutan 30 hari tarikh akhir asal bagi pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV). Naib Presiden Kanan Fomca, Datuk K. Koris Atan, menjelaskan bahawa pemandu perlu diberi tempoh lebih panjang.

Walau bagaimanapun, Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) sebelum ini menggesa Kementerian Pengangkutan supaya tetap tegas dalam menguatkuasakan keperluan PSV.

Menurut Presiden GTSM, Kamarudin Mohd Hussain, apa saja keputusan yang bersifat pusingan U terhadap keputusan itu akan menjejaskan “kedaulatan negara”.

Dengan nada sinis tetapi mengancam, Kamarudin juga berkata bahawa pertubuhannya akan mengadakan perhimpunan jika Kementerian Pengangkutan menarik semula peraturan tersebut.

Walau apa pun, tempoh lanjutan ini membantu kedua-dua pihak penumpang serta pemandu yang menjalankan perkhidmatan e-hailing.

Google ads
Back to top button