Buletin

HONDA NAIKKAN HARGA TYPE-R TAHUN DEPAN – TAMBAH DUIT, TETAPI CIRI SAMA SAHAJA

Sebelum ini timbul laporan bahawa terdapat ramai pengedar yang menaikkan harga Honda Civic Type-R sesuka hati.

Keadaan itu nampaknya tidak berubah apabila Honda dikatakan bakal menaikkan harga Civic Type-R sebanyak AS$610 (RM2,508) daripada $36,620 (RM150,617) menjadi $37,230 (RM153,126) untuk pasaran Amerika Syarikat bagi model tahun 2020.

Model FK8R diperkenalkan pada tahun 2017 dengan harga bermula $34,775 (RM143,029) dan memberi nilai terbaik pada ketika itu. Namun, harganya dilihat terus naik setiap tahun.

Walaupun ramai yang bengang dengan kenaikan ini, tetapi Civic Type-R masih menawarkan ciri terbaik. Terutama jika dibandingkan dengan pesaing rapatnya seperti Subaru WRX STi dan Volkswagen Golf R.

Biarpun pelanggan perlu menambah wang, Honda bagaimanapun mungkin tidak membuat sebarang bentuk penambahbaikan pada model 2020.

Ini jelas berbeza ketika Honda menaikkan harga sebanyak AS$1,000 (RM4,112) untuk model tahun 2019, Civic Type-R didatangkan dengan sistem infohibur lebih baik yang lengkap bersama butang kawalan. Apple CarPlay dan Android Auto juga hadir sebagai ciri standard.

Dari segi mekanikal, Civic Type-R masih menggunakan enjin turbo bersesaran 2.0 liter dengan kuasa 306hp dan tork 399Nm.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual enam kelajuan.

Nampaknya, Civic Type-R takkan turun harga. Lagi lambat beli, makin mahal pula nilainya.

Google ads
Back to top button